Metafizik
Konsep "Free Will"
KONSEP "FREE WILL"
Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka Barangsiapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin kafir biarlah ia kafir.”
(QS:Al-Kahfi 18:29).
Ternyata Allah SWT memberikan kebebasan kepada kita untuk memilih samada ingin beriman atau tidak. Semuanya terpulang pada diri sendiri untuk membuat pilihan. Allah SWT tidak pernah memaksa samada kita ingin beriman atau tidak. Samada ingin mengikut segala perintah Allah SWT atau mengikut hanya yang mana kita rasakan perlu untuk kita.... terserah.
Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah memaksa kita untuk mengikuti baginda atau tidak. Surah Al-Kafirun jelas menunjukkan “bagi ku agama ku dan bagi kamu agama kamu” bermakna ini tiada paksaan untuk sesiapa sahaja samada orang kafir atau SUDAH MEMELUK ISLAM untuk beriman atau tidak. Namun ayat surah Al-Kahfi di atas tidak berhenti di sini. Keseluruhan makna ayat ini adalah:
“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka Barangsiapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin kafir biarlah ia kafir.” Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling tidak menyenangkan.” (QS:Al-Kahfi 18:29).
Setelah Allah SWT memberikan kita kebebasan memilih, namun mengapa Allah SWT mengancam kita dengan neraka yang menakutkan jika kita memilih kafir?
Mengapa tidak seimbang atau konsisten kebebasan yang Allah SWT berikan kepada kita?
Saudara,
Setiap dalam hidup ini sebenarnya memiliki pilihan yang disediakan oleh Allah SWT. Pilihan-pilihan ini akan menjadi sebuah takdir (Qada’) yang kita lalui dan setiap takdir pasti disertai dengan kadar atau akibat (Qadar).
Lakukan apa jua perkara, pasti ada akibatnya. Jika kita minum, akibatnya ada. Kita makan, kita mandi dan sebagainya. Ini aktiviti rutin dan sentiasa ada akibatnya.
Sama juga dengan pilihan-pilihan yang lain. Kita beli baju fesyen A, ada akibatnya. Fesyen B ada akibatnya dan lain-lain..
Begitu juga dengan undang-undang. Kita diberi kebebasan menggunakan jalan raya. Terserah untuk membawa laju atau perlahan. Namun semuanya ada akibatnya kerana adanya undang-undang di sana.
Apakah tujuannya undang-undang? Pasti untuk menjamin kesejahteraan kita.
Nah! Setiap yang Allah SWT sediakan, ada peraturan atau undang-undang yang Allah SWT tetapkan dan setiap peraturan tersebut pasti terbaik buat diri kita Cumanya bagi pihak kita, terpulang untuk memilih yang mana dan setiap pilihan yang kita lakukan pasti ada akibatnya.
**************
Insan berbeza dengan selain daripadanya. Insan diberi kebebasan di dalam membuat pilihan dan dibekalkan oleh Allah SWT dengan akal. Kerana itu Allah SWT menyediakan Syurga dan Neraka kerana kita diberikan kebebasan ini. Ganjaran yang Allah SWT sediakan juga memiliki pilihan. Terpulang samada kita ingin masuk syurga atau neraka. Allah SWT jelas melalui Nabi Muhammad memberitahu kita jalan-jalan untuk masuk syurga dan jalan- jalan masuk ke neraka. Sekali lagi, terserah untuk masuk ke mana.
Berbeza dengan selain daripada manusia iaitu haiwan, planet, tumbuhan dan lain-lain, mereka tidak diberi kebebasan oleh Allah SWT untuk memilih. Bumi tetap terus berputar. Tiada pilihan kepada bumi samada berhenti atau terus berputar. Mahu berputar terbalik dari sekarang atau tidak, tidak diberi pilihan oleh Allah SWT. Begitu juga dengan matahari dan planet-planet yang lain.
Kucing tidak mampu memilih apa yang ia inginkan. Mata kasar kita melihat kucing memilih makanan namun sebenarnya semuanya tidak diberikan kebebasan kepadanya. Allah SWT tidak menyediakan akal kepadanya. Apa yang dipilih mengikut segala kehendak Allah SWT semata-mata. Tiada syurga dan neraka kepada selain daripada manusia kerana mereka tiada kebebasan untuk memilih.
*********
Ketika seseorang melakukan keburukan, sebenarnya tidak boleh menyalahkan takdir kerana kuasa memilih diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Allah SWT mengalirkan daya namun amat sedikit di dalam membuat pilihan. Namun atas “Rahmat” Allah SWT, ada pilihan-pilihan yang tidak diizinkan oleh Allah SWT kerana pilihan itu tidak baik untuk kita. Baik atau tidak baik bukan penilaian dari kita tetapi oleh Allah SWT. Walaupun akal kita mengatakan baik, namun tidak semestinya kerana akal kita terbatas.
****
Inilah namanya kehidupan berTuhan. Ada kebebasan ke atas sesuatu pilihan yang jelas dan tidak jelas kebaikan dan keburukannya. Apakah maknanya semua ini?
Inilah sebuah ‘permainan’ yang difirmankan oleh Allah SWT yang mana HANYA SATU kehendak Allah SWT iaitu Allah SWT meminta insan BERGANTUNG SECARA TOTAL (Allahu Somad) kepadaNya kerana Hanya Dia sahaja yang mengetahui segala-galanya termasuk pilihan yang terbaik. Bergantung total inilah “IMAN”. Ketika beriman, pastilah kita akan mengikut segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya kerana kita bergantung total kepadaNya
Kerana itu kita perlu sentiasa sedar akan Allah SWT disebabkan setiap saat kehidupan ini pasti terdapat pilihan-pilihan yang perlu kita pilih. Dan kita memohon kepada Allah SWT agar mengilhamkan kita pilihan yang terbaik di sisiNya.
SEDERHANA bukan konsep islam ini?
Mereka yang tidak beriman atau beriman hanya perkara-perkara yang tertentu (tidak seluruhnya), merupakan hamba yang sombong dengan Allah SWT. Mahu menggunakan akal sendiri di dalam membuat pilihan namun jelas akal itu terbatas.
Akhirnya pasti ada pilihan yang salah dan akibatnya pasti menyakitkan. Pilihlah apa pun pilihan namun pastikan sebelum membuat pilihan, tanyalah kepada Allah SWT terlebih dahulu.
Wallahualam..
Sifu Farihan Yahya
22 April 2017
Temerloh, Pahang
0 comments:
Post a Comment