Info Umrah Tanah Suci

Perkara yang kita perlu jemaah faham di Mekah & Madinah

6:50 AM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


PERKARA YANG KITA PERLU JEMAAH FAHAM DI MEKAH & MADINAH

1. HARGA, TARAF DAN JARAK HOTEL

Kalau di Malaysia hotel yang harganya RM350 per malam itu boleh dikatakan mahal, di sini pula ianya adalah dalam kategori yang PALING MURAH. Semakin murah hotel, semakin jauhlah jarak dengan Masjidil Haram ataupun Masjid an-Nabawi. Dari sudut mudahnya, semakin murah harga pakej, semakin jauhlah hotelnya. Taraf hotel di sini juga bukanlah sama dengan mana-mana hotel di tempat lain. Di mana 2, 3, atau 4 bintang kebiasaannya adalah terletak pada 'PENILAIAN TERSENDIRI', bahkan pernah juga ada yang labelkan hotel dengan taraf 2 bintang di sini seperti hotel 'pelacur' kerana terkejut dengan keadaannya. Maka rajinkanlah membaca supaya tak terkejut lalu marah dan melabel macam-macam yang tak baik. Di sini, walaupun hotel 5 bintang, ianya tetap tak terhindar dari masalah ruang sempit bila diisikan 4 katil sebilik, maka sekiranya mahukan keselesaan, ambillah bilik berdua. Sekiranya kita memilih pakej dengan mana-mana syarikat, inilah penilaian utama kita. Selagi tiada pertukaran, maka jangan salahkan syarikat. Rajinkan membaca. Fahami setiap inci pakej anda sebelum memilih. Mahukan keselesaan, besarlah bajetnya.

2. MAKANAN KATERING

Bagi yang pakejnya adalah makanan katering, kita perlu faham bagi selera Indonesia dan Malaysia, syarikat yang sah berdaftar sememangnya sangat sedikit. Maka apabila mereka menerima tempahan yang banyak, adalah mustahil hasilnya menjadi sangat sempurna. Boleh jadi hari ini sedap, esoknya tidak. Ini kerana hari yang sedap itu mereka masakkan untuk jumlah pelanggan yang sedikit, manakala yang tak sedap itu pula apabila mereka perlu masak untuk jumlah yang ramai. Saya sendiri pernah bertanyakan kepada satu syarikat katering, dengan hanya 10 orang tukang masak mereka perlu sediakan sarapan untuk 3,000 orang sehari. Maka dalam keadaan ini adakah kita masih bayangkan mihun kita akan rata garamnya, sekata warnanya ?

3. PORTER DAN BELLBOY

Di sini, semuanya perlu dibayar. Bahkan bagi golongan ini mereka terlalu kuat meminta-meminta. Biasanya bagi syarikat, urusan ini akan diselesaikan oleh para petugas, maka para jemaah tidak perlu membayar apa-apa kepada mereka. Untuk makluman umum, ramai di kalangan mereka ini mengenakan caj yang mahal. Ada yang menetapkan harga per troli, ada yang harga per bagasi, ada yang harganya per bas dan ada juga yang caj per orang. Saranan saya, biarkan urusan ini dan serahkannya kepada petugas. Jangan pelik kalau hari-hari kita melihat petugas bergaduh dengan mereka. Bayangkan, mereka boleh caj SR 300 per bas untuk turunkan bagasi dan hantar ke bilik. Dan hotel 5 bintang pun tidak terlepas dari masalah ini. Maka sabarlah menunggu, dan jangan mendesak petugas untuk segerakan bagasi anda.

4. JADUAL & PENGANGKUTAN

Sekiranya anda berangkat dalam kumpulan besar, ataupun anda sendirian bersama keluarga, jangan sekalipun main-main dengan masa. Ini kerana kenderaan samada bas, van ataupun kereta tak boleh parking atau menunggu lama. Jemaah perlu bersedia, dan setelah kenderaan sampai terus naik dan berangkat. Sekiranya kenderaan ini dihalau oleh pihak berkuasa, maka kita perlu menunggu kerana jarak untuk pusing dan datang semula sangat jauh.

5. CHECK IN & OUT HOTEL

Untuk pengetahuan umum, biasanya bilik untuk check in hanya akan siap tersedia paling awal jam 6.00 PETANG dan bukannya jam 2 petang seperti hotel-hotel di negara lain. Ini kerana pihak hotel perlu menyiapkan ratusan bilik yang selesai check out sebelum aktif untuk di check in oleh orang lain. Manakala bagi check out pula selewat-lewatnya jam 2 petang, dan sekiranya lewat maka pelanggan akan dicaj 1 hari. Di sini tiada caj per jam.

6. BERANGKAT KE LAPANGAN TERBANG

Kita mungkin pelik, kenapa perlu bersedia di lapangan terbang sehingga terpaksa berangkat dari hotel 6 jam sebelum keberangkatan. Itu satu tempoh yang sangat panjang.

Sebenarnya ia melibatkan 2 perkara iaitu pengurusan dan juga masa untuk jemaah. Kita perlu sentiasa sedar bukan hanya kita yang wujud di negeri ini, bahkan jutaan manusia hadir di sini. Maka lapangan terbang di sini yang serba dhaif akan dibanjiri manusia, bahkan tiada apa yang kita boleh sangka dan jangka di sini. Kita mungkin dihalau ke terminal lain tanpa sebab dan alasan bertulis, boleh jadi kita terpaksa beratur di belakang 5 bas jemaah lain dan hanya SATU kaunter dibuka, dan boleh jadi kita terpaksa menunggu di belakang orang yang tersangkut urusannya. Maka jangan samakan urusan di sini dengan mana-mana tempat lain. Selepas siap semua urusan, jangan tunggu dan terus masuk ke bahagian imegresen dan menunggu di kawasan menunggu perlepasan Antarabangsa.

7. KHIDMAT DAN PELAYANAN

Kebanyakan pekerja datang dari Nepal, India, Bangladesh, Pakistan dan semenanjung Arab sendiri. Secara jelas, adat dan budaya mereka sangat berbeza berbanding kita. Maka banyakkan bersabar sekiranya apa yang mereka lakukan tak nampak elok di mata kita. 

8. PEMANDUAN

Rata-rata pemandu di sini tergolong dari kalangan 'HACKER'. Mereka dilihat sangat sukar meninggalkan telefon di tangan. Mungkin sedang menguruskan projek 'HIJACKING' gamaknya. Tak cukup dengan itu, mereka juga biasa berbual telefon dengan suara yang kuat ditambah dengan gaya tangan seakan-akan ada orang 1 KM dihadapannya. Speeding, 'cilok'ing, itu permainan harian mereka. Di sini sememangnya pusat latihan Michael Schumacher kedua sehingga ke seribu. Bila anda menaiki teksi, biasakan diri dengan istighfar dan memuji Tuhan, dan berdoalah agar sentiasa berada dalam jagaanNya.

9. MENGHORMATI ORANG LAIN

Kita teruja ke tempat orang, lebih-lebih lagi ke tempat ibadah yang paling dicintai Allah dan RasulNya. Akan tetapi bila sampai di sini kita mulai merasa menyampah dengan sikap orang lain. Berasak-asak, memotong barisan, merempuh, pijak kaki, tolak kepala, itu semuanya seakan-akan rutin harian di sini. Apa yang kita perlu faham di sini adalah semua di kalangan mereka ini sama seperti kita, iaitu mengejar keberkatan dan keredhaan Tuhan semata-mata. Maka jauhkanlah sifat negatif, dan semailah jiwa yang positif. Jangan kita lakukan perkara syok sendiri, selfie di tengah lautan manusia, berhenti dan bersembang di tengah laluan, bercakap kuat atau menjerit-jerit, apatah lagi menjawab panggilan, berbual panjang di tengah ombak manusia. Boleh jadi di sebelah kita adanya manusia yang sedang bermunajat kepada Tuhan.

10. PATUH DENGAN KETUA

Selari Sunnah, setiap musafir adanya KETUA. Maka hormat dan patuhlah dengan setiap apa yang disusun dan ditentukan olehnya. Boleh jadi profesion kita lebih mulia berbanding ketua kita, boleh jadi ketua itu terlalu muda bagi kita. Apapun keadaannya, dia tetap ketua kita. Bila mereka berucap, beradablah untuk mencelah. Bila adanya Mutawwif sedang berceramah di dalam bas, membacakan ayat al-Quran, menyampaikan Hadith, jangan pula kita sibuk bergelak ketawa,  bertepuk tampar, tidur berdengkur sehingga mengganggu majlis ilmu dan mereka yang tekun dahagakan ilmu .

TEMPAT INI, TEMPAT KEBERKATAN, TEMPAT ILMU, TEMPAT BERMULANYA AGAMA.

Wallahu a'lam

0 comments: