Metafizik

Jiwa Tenang Otak Cerdas

8:35 AM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


JIWA TENANG OTAK CERDAS

Jiwa Tenang Otak Cerdas
Jiwa yang diam (tenang) pasti otak berfikir dengan lebih baik dan kreatif.
Maka bukan diamkan otak kita tetapi diamkan jiwa/diri kita agar otak kita lebih matang berfikir.
Diamkan fikiran kita bukanlah menghentikan otak kita dari berfikir.
Tetapi menghalang otak kita berfikir mengikut nafsu kita agar otak kita berfikir mengikut ilham yang ada di jiwa yang tenang itu.
Diamkan fikiran itu mudah iaitu jiwa/kamu kembali kepada Allah.

Ini seumpama sebuah dasar lautan yang tenang, pasti makhluk hidup di dalamnya bergerak ke sana sini dengan bahagia. Makhluk hidup tidak diam walaupun dasar lautan itu tenang. Semuanya bekerja keras dan menjalani kehidupan yang ditentukan.

Namun apabila dasar lautan bergelombang, makhluk hidup mula resah gelisah. Ke sana sini tidak menentu.
Begitulah ANALOGI JIWA DAN FIKIRAN. Seandainya jiwa ini tenang, fikiran kita mampu berfikir dengan baik. Segala ilham yang dikurniakan Allah ke dalam jiwa dapat mengalir tenang ke otak lalu menghasilkan idea‐idea yang baik.

Kita mampu memahami kehendak Allah di dalam melaksanakan perintahNya. Kita akan terus memiliki kekuatan kerana kita amat sedar dan rasa kita beribadah atas nama Allah. Kerana itu kita perlu mempositifkan jiwa dan bukannya mempositifkan fikiran tanpa menghiraukan jiwa. Fikiran pasti akan positif apabila kita memiliki jiwa yang positif.

Sumber ilham letaknya di jiwa. Lalu dalam keadaan jiwa yang tenang, ilham ini dapat mengalir dengan baik mencetuskan sebuah fikiran yang dikenali sebagai idea. Umat Islam yang mengucap lafaz kalimah syahadah, seharusnya lebih hebat daripada yang lain. Allah berfirman,

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah At-Tiin 95: ayat 4)

We are born to be a CHAMPION, as Khalifah. So WHY kita pilih untuk menjadi seorang LOOSER. Hidup ini adalah untuk dinikmati seadanya, dan bukannya untuk ditangisi.

Umat Islam tidak membaca menggunakan nafsu tetapi menggunakan ilham yang disampaikan oleh Yang Maha Bijaksana... Allah SWT. Dia Yang Maha Tahu kerana semua apa yang ada di langit dan di bumi dan di antaranya adalah ciptaanNya. Nah! kini kita memahami jalan ceritanya. Tinggal kita ingin menjadi orang yang berjiwa tenang atau berserabut sahaja.

KETENANGAN JIWA ITULAH SYURGA
KERESAHAN JIWA ITULAH NERAKA

Caranya yakinlah pada Allah melalui kata‐kataNya iaitu “Hanya dengan mengingat Allah, hati menjadi tenang”.
Sebuah ayat Al‐Quran yang tidak ada keraguan padanya. HANYA bermakna tidak ada yang lain melainkan dengan mengingat Allah sahajalah jiwa menjadi tenang. Allah berfirman,

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. "(Surah Ar-Ra'd 13: ayat 28)

Jiwa ini ditenangkan Allah. Dan Allah akan menenangkan kita seandainya kita sentiasa mengingat Allah.
Lalu timbul lagi persoalan.

Bagaimana untuk sentiasa mengingat Allah?
Seandainya kamu mencintai seseorang pasti kamu sukar melupakan. Nah! inilah jalannya. Seandainya ada rasa cinta kita pada Allah, mana mungkin kita akan lupakanNya walau sesaat pun. Dalam apa jua hal, kita tetap terus ingat Allah walaupun ketika kita melakukan kerja di dalam melaksanakan amanah Allah SWT.

Bagaimana pula untuk mendapatkan cinta Allah?
Sememangnya semuanya adalah hak Allah untuk memberikan rasa cinta kepadaNya dalam hati kita. Namun atas daya kemanusiaan yang dikurniakan Allah, kita sekadar mampu berkomunikasi dengan Allah SWT setiap apa yang kita fikirankan dan lakukan. Dengan komunikasi, kita dapat selarikan apa yang kita fikir serta kerja kita dengan menyedari Allah SWT.

Oh! indahnya setelah kita tahu caranya. Lalu praktikkan kerana hanya dipraktikkan sahaja yang mampu memiliki cinta Allah SWT . Sesekali di dalam tenang, luncurkan jiwa itu kuat menyedari Allah SWT. Kamu pasti akan terus diilhamkan Allah di dalam tuntunannya melayari hidup berTuhan ini. “ya Allah terima kasih ya Allah”

Wallahualam...

Sifu Farihan Yahya
Temerloh, Pahang
29 April 2017

0 comments: