Metafizik
Israk Mikraj : Rasulullah yang ummi
ISRAK MIKRAJ : RASULULLAH YANG UMMI
Sempena Isra’ dan Mikraj yang baru kita lewati ini marilah kita berkongsi tentang sifat Rasulullah, rasul yang kita kasihi. Tahun lepas saya membawakan 2 pengajaran yang boleh diambil dari Isra’ dan Mikraj. Tahun ini kita melihat sifat Rasulullah yang selalu disalah ertikan.
Ummi. pengertian yang sekadar kita memahami sebagai tidak tahu membaca dan menulis (buta huruf).
Dan ia terus difahami sebegitu sejak kita diperkenalkan bahawa Nabi Muhammad yang kita kasihi itu Ummi.
Lalu Ummi juga dijadikan alasan sebagai mengukuhkan bahawa agama yang dibawa Rasulullah itu benar kerana mana mungkin Rasulullah yang ummi mampu menghasilkan agama sendiri.
Rendahnya kita meletakkan Rasulullah SAW dengan pengertian ummi yang sebetulnya diri kita tidak mengerti makna sebenarnya. Kita menafsirnya dari hal bahasa tanpa melihat di sebalik sesuatu yang sebenarnya sangat tingginya kelebihan ummi yang dimiliki oleh Rasulullah SAW.
Lihatlah respon Rasulullah ketika Baginda menerima wahyu yang pertama. Ketika Jibril meminta Baginda untuk membaca (Iqra), baginda berkata “aku tidak tahu”.
Apakah yang kita fahami di sini “tidak tahu” itu sebagai ummi kerana Rasulullah SAW tidak tahu membaca?
Kita meletakkan Rasulullah jauh rendahnya tanpa kita sedari.
Kita melihat kerendahan Rasulullah SAW tanpa kita sedari di dalam peristiwa wahyu pertama ini.
Jawapan “aku tidak tahu” difahami kerana Rasulullah itu ummi sebab itu Baginda tidak tahu membaca setelah diminta oleh Jibril untuk membaca.
Sebenarnya apa yang kita tidak sedari adalah sejak wahyu pertama lagi Rasulullah SAW memberikan contoh kepada kita kelakuan yang sewajibnya kita ada di dalam hidup kita seharian atas rahmat Allah SWT.
Jawapan “aku tidak tahu” jelas merupakan penyerahan secara total baginda Rasulullah SAW pada Allah SWT. Baginda berkata “aku tidak tahu” kerana Baginda hanya mengikut kehendak Allah SWT.
Mengikut apa mauNya Allah.
Sikap ini adalah sikap dasar atau basic yang harus dimiliki oleh seseorang yang tidak tahu kemudian ingin tahu. Sikap seorang anak murid kepada guru.
Sikap seorang hamba kepada khaliqnya.
Kerana inilah modal yang kita miliki yang kita punyai. MODAL TIDAK TAHU.
Dengan sikap dan pengakuan seperti ini (tidak tahu) kepada Allah SWT, kita akan dituntun menjadi sedar penuh kepada Allah SWT oleh Allah SWT sendiri. Apabila kita sudah sedar penuh pada Allah, maka kita akan mudah, rela senang hati akan ikut segala kehendak Allah SWT. Setelah kita senang mengikut kehendak Allah SWT maka Allah SWT akan menuntun kita daripada satu keadaan ke keadaan yang lain, dari satu suasana ke suasana yang lain dan dari satu pengetahuan ke pengetahuan yang lain.
Bukankah tuntunan Allah SWT ini yang kita selalu mohon dalam setiap solat kita?
“KepadaMulah kami sembah dan kepadaMulah kami minta pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus.”
Inilah ketinggian umminya Rasulullah SAW di dalam hidup berTuhan seorang hamba Allah SWT yang paling dikasihi Allah SWT yang selalu kita perendahkan tanpa sedar dengan memahami bahawa ummi itu menunjukkan Rasulullah SAW tidak tahu membaca dan menulis.
Rasulullah SAW hanya mampu melakukan segala tugas hanyalah dengan Nama Allah SWT mengatas nama Allah SWT. Kerana itu Rasulullah SAW mampu membaca setelah Jibril mengajarkan Baginda “Bacalah dengan nama Tuhanmu.” Jika tiada dengan nama Tuhanmu, Rasulullah SAW memberi jawapan tetap sama iaitu “Aku tidak tahu.”
Semoga pencerahan ini membuatkan kita tersedar bahawa umminya Rasulullah bukanlah sesuatu yang rendah martabatnya. Ia merupakan satu kesedaran yang seharusnya dicontohi bahawa kita ini tidak tahu apa-apa melainkan semuanya atas kehendakNya Allah SWT. Tidak akan bergerak walau sebesar zarah tanpa izin dan kehendak Allah SWT.
Semoga kita sentiasa sedar yang kita ini memerlukan Allah SWT di dalam menuntun hidup kita ini di dalam hidup berTuhan. Ikut atas kehendakNya.
Semoga ada manafaat daripada artikel ini untuk semua. Amin.
Sifu Farihan Yahya
1hb Mei 2017 @ 9.38 pagi
Kemaman, Kuala Terengganu
----------------------------------------------------------
Ahmad Humaidi Ismail :
Soalan saya sifu, adakah Rasulullah S.A.W itu UMMI sehingga akhir hayat Baginda?
Farihan Yahya :
Apa yang Tuan faham dengan perkataan "UMMI" dari sharing di atas tu. Ambil kisah itu letak pada diri sendiri...cuba..??
Ahmad Humaidi Ismail :
Fahaman umum UMMI tak tahu membaca dan menulis.
Farihan Yahya :
Benar kefahaman orang awam, yang tersirat di sebalik yang tersurat apa dia..?? Baca berulang-ulang kali dan cuba faham..ianya related dengan apa yang selalu kita diskusikan di sini.
Ahmad Humaidi Ismail :
Kelebihan Baginda UMMI mudah mematahkan hujah mereka yang Baginda mungkin mencipta agama sendiri dan mencedok pengetahuan kitab agama terdahulu dan syair arab.
Maknanya Baginda tiada KEAKUAN langsung.
Apa Baginda cakap dan sebut adalah WAHYU Allah semata-mata. Ini yang tersirat.
Farihan Yahya :
Alhamdulillah, faham dah tu. Daripada kisah di atas apa yang kita dapat simpulkan SIKAP yang baginda warisi kepada umatnya untuk diteladani dan sebagai bekal untuk ke destinasi seterusnya adalah :-
1. Tiada KEAKUAN
2. Berserah diri secara total
3. Tawadduk dan rendah diri
4. Buat sesuatu kerana Allah Taala
5. REDHA atas ketentuan dan aturan Allah
Ahmad Humaidi Ismail :
Alhamdulillah..semua dengan hidayah Allah..'aku tidak tahu' sifu.
0 comments:
Post a Comment