Metafizik

Terapi Sedekah

7:58 AM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


TERAPI SEDEKAH

Sebut sahaja sedekah, tidak perlu lagi rasanya sifu perlu kupas panjang lebar tentang ganjaran yang dijanjikan Allah SWT kepada kita. Kita sedia tahu ganjarannya yang berlipat kali ganda. Namun kali ini sifu ingin menjelaskan bagaimana sedekah yang dikatakan mampu memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda itu.

Kita kan selalu bersedekah. Sejak dulu hingga kini dan akan datang kita tetap terus bersedekah. Kita yakin kita akan memiliki ganjaran di atas sedekah yang kita lakukan.
Tetapi sedekah kita hanya tinggal keyakinan tentang ganjaran yang dijanjikan Allah SWT kepada kita sahaja. Namun sedekah tidak banyak memberikan kesan kepada jiwa kita. Bagi kita sedekah itu jika kita ada harta yang berlebihan dan mampu untuk bersedekah, kita akan sedekahkan.

Sedekah itu sebenarnya membantu mereka yang memerlukan. Ia bukan sekadar itu sahaja. Sedekah itu mendidik jiwa kita agar yakin kepada Allah SWT dengan sebenar-benar yakin. Sedekah juga mendidik kita agar tidak terikat dengan harta benda dan keduniaaan.

Sedekah itu menguji sejauh mana keyakinan kita kepada Allah SWT tentang hal rezeki. Sejauh mana keyakinan kita bahawa Allah SWT akan memberi rezeki yang berlipat kali ganda jika kita bersedekah. Kekadang kita tidak yakin bahawa Allah SWT akan memberi kita rezeki. Ketidakyakinan ini disebabkan oleh perkataan ‘akan’ mendapat ganjaran di mana ia bermakna masih belum berlaku.

Sesuatu yang belum berlaku menjadi sesuatu yang tertanya-tanya. Tidak pasti. Menjadi tertanya-tanya adalah kerana jiwa tidak yakin dengan Allah SWT. Ketika kita ingin memberi, kita masih ragu-ragu dengan ganjaran yang dijanjikan kepada kita. Kita seolah-olah tidak percaya pada janji Allah SWT sekaligus tidak percaya pada Allah SWT.

Akhirnya, kita tetap bersedekah namun harta atau nilai yang kita berikan hanyalah nilai yang kita rasa tidak kisah jika kita berikan harta atau nilai itu. Bukan nilai yang kita sayang. Ini kerana kita berfikir, jika ada ganjaran Alhamdulillah. Jika tiada, tidak mengapa sebab nilai sedekah itu adalah nilai yang kita tidak kisah. Kecil bagi kita.

Kita sering bersedekah. Tetapi sedekah tidak memberi kesan kepada diri kita. Kita yakin dengan ganjaran yang Allah SWT janjikan. Namun kita sering tidak dapat ganjaran yang dijanjikan itu. Mengapa?
Syarat untuk bersedekah adalah sama dalam peristiwa korban Habil dan Qabil. Sedekah perlu memberikan harta yang kita sayang. Di sinilah latihan untuk kita menguatkan diri kita agar tidak terikat dengan harta benda dunia. Kita selalu bersedekah tetapi sejauh mana sedekah kita itu termasuk ke dalam nilai yang kita sayang?

Sebagai contoh, kita memberi RM10 kepada yang meminta dengan niat bersedekah. Namun RM10 sebenarnya adalah nilai yang kita rasa tidak menjadi masalah untuk kita berikan. Kita bukan sekadar mampu memberikan RM10 tetapi lebih daripada itu sehingga rasa tidak kisah.

Nah! Adakah nilai Rm10 itu merupakan nilai yang kita sayang? Pastinya tidak. Lalu apa yang perlu kita lakukan?
Naikkan lagi nilai sedekah kita sehingga ke satu tahap yang kita rasa sayang untuk kita berikan nilai itu. Sebagai contoh, kita naikkan nilai RM10 kepada nilai RM30. Kita berasa cukup sayang sebenarnya untuk kita berikan RM30 itu. Maka sedekahkanlah RM30 ini iaitu satu nilai yang kita sayang.

Dengan menaikkan nilai sedekah kepada satu tahap yang kita rasa sayang untuk kita berikan, kita sebenarnya telah memberikan sesuatu yang kita sayang. Namun kita kuat untuk melepaskan harta yang kita sayang dengan bersedekah. Kita tidak lagi terikat dengan harta dunia.

Peringatan
Namun pasti apabila kita bersedekah dengan harta atau nilai yang kita sayang, kita akan teringatkan dengan harta tersebut. bagaimana untuk menghilangkannya?
Perbanyakkanlah komunikasi dengan Allah SWT memohon agar rasa itu dihilangkan. Banyakkanlah ucapan ‘Aku rela ya Allah, aku rela. Tidak ada satu sen pun duit aku ya Allah. Semua harta ini duit Engkau ya Allah. Kalau Engkau nak ambil semua sekali pun aku tidak mampu menahannya ya Allah”.
InshaAllah jiwa lebih redha dan berserah pada Allah SWT.

Jika kita lakukan sedekah seperti kaedah apa yang sifu katakan ini, lihat sahaja nanti ganjaran yang Allah SWT janjikan satu persatu akan hadir. Ketika itu keyakinan saudara pada Allah SWT pasti akan meningkat dan terus meningkat.

Ia berlaku sendiri kepada sifu, keluarga dan rakan-rakan yang telah saya ceritakan tentang sedekah ini. Rezeki bagi orang yang selalu bersedekah sentiasa ada. Tidak pernah dalam sejarah dunia sejak zaman Nabi Adam hingga kini kita mendengar bahawa mereka yang bersedekah menjadi miskin. Tidak pernah ada diabadikan dalam Al quran bahawa mereka yang bersedekeh membawa kepada kefakiran. TIDAK ADA.

Yang MISKIN JIWA DAN FAKIR MINDA adalah diri kita sendiri kerana tidak ada ILMU YAKIN terhadap Allah SWT.
Sedangkan baginda Rasulullah SAW sendiri menegaskan beli kesulitan hidup dengan berzakat dan bersedekah.
Lakukanlah dengan penuh Yakin agar selalu mendapat rezeki dan pertolongan pada masa, tempat dan sesiapa yang tidak disangka-sangka.

Semoga kita semua tidak terikat dengan keduniaan. Amin.

Ringkasan cara bersedekah:
1.Mulakan dengan satu nilai yang kita rasa mampu
2.Naikkan nilai itu sehingga ke satu tahap yang kita rasa sayang untuk kita sedekahkan.
3.Nilai inilah yang kita sedekahkan. (nilai yang kita sayang – melepaskan kita dengan keterikatan keduniaan)

Semalam sifu ada share satu satunya NIKMAT yang tidak ada tandingannya dari 7 petala Langit hingga 7 lapisan bumi adalah NIKMAT DIBERI ILMU YAKIN TERHADAP KEKUASAAN ALLAH..bila ada ilmu Yakin barulah dikatakan kita ini beriman dan hidup bertuhan dan bukan sekadar hidup beragama.

0 comments: