Metafizik
Pilihan sendiri vs Ketetapan Allah
PILIHAN SENDIRI vs KETETAPAN ALLAH
Program MSP 2 hari 1 malam yang lalu pd 25 & 26 March 2017 di Melaka, sifu ada menceritakan tentang hal qada’ dan qadar yang menjadi persoalan ramai orang. Mungkin diri kita yang membaca artikel ini juga.
Persoalannya adalah kita ingin mengetahui qada’ yang mana untuk kita pilih agar kita memiliki qadar yang terbaik buat kita. Inilah yang menjadi kebingungan kita selama ini. Lalu sejak sekian lama banyak pendapat membahaskan dengan sejauh mana kebebasan memilih yang Allah berikan kepada kita.
Ianya begini, Seandainya kita mendalami hal qada’ dan qadar ini, kita pening sendiri. Keliru sendiri. Kita akan terus mengemukakan persoalan yang tidak pernah memuaskan hati kita.
Di ketika kita mengatakan bahawa kita diberi pilihan oleh Allah SWT kepada kita sendiri untuk memilih takdir, nanti akhirnya semua pilihan kita ditentukan oleh Allah jua.
Seandainya kita mengatakan kita tidak memiliki pilihan di dalam memilih dengan hanya mengikut semua kehendak Allah SWT semata‐mata, lalu kita persoalkan tentang balasan Allah yang dikenakan atas tangan‐tangan kita sendiri. Persoalan ini tidak akan berakhir. Kita akan menjadi semakin keliru.
Alhamdulillah, setelah beberapa tahun selusuri jalan kembali dan mencari akhirnya sifu memahami suatu perkara dalam hal persoalan tentang takdir ini. Sebenarnya yang utama bukan untuk mengetahui takdir yang mana baik atau tidak baik. Ini kerana baik atau tidak baik itu adalah pada penilaian kita sebagai manusia sahaja. Juga tidak menjadi sesuatu yang penting untuk kita mengetahui sesuatu pilihan itu kita yang memilih sendiri atau ditetapkan Allah kerana walaubagaimana perbahasan kita pun semuanya adalah ketetapan Allah jua adanya.
Bagi Allah SWT, apa jua yang berlaku pada kita adalah yang terbaik untuk kita. Allah menjelaskan sejelas‐jelas dalam Al‐Quran bahawa selagi kita berpegang pada Allah, beriman kepadaNya dengan benar pasti ditunjukkan kita jalan yang baik. Allah SWT tidak menzalimi hamba-hambaNya yang beriman, cuma kita sedikit kurang ajar sahaja dengan DIA.
Dengan keyakinan ini, kita ini teruskan sahaja kehidupan kita ini dengan memastikan bahawa kita tetap berpegang pada tali Allah SWT. Apa pun yang menjadi takdir kita, samada pada penilaian kita ianya tidak baik, namun sebenarnya itulah terbaik di sisi Allah untuk kita. QUL KULLUM MIN INDILLAH.
Kita tidak tahu apakah sebenarnya rancangan Allah untuk kebaikan diri kita. Walaupun bagi kita sesuatu yang menimpa kita itu merupakan satu musibah atau bala atau apa jua pun (mengikut penilaian kita), namun selagi kita bergantung pada Allah SWT 100%, yakinlah bahawa semua itu adalah proses kematangan dalam hidup kita yang perlu kita lalui dan di sana ada kebaikan untuk kita. Dengan memahami hal ini, kita tidak perlu lagi bertanya‐tanya yang mana satu pilihan yang terbaik sebelum melakukan kerana ia akan terus membingungkan kita.
Yang utama kita tanya dan memohon izin daripada Allah sebelum memilih dan melakukan sesuatu. Namun jawapan Allah bukan berbentuk seperti jawapan manusia.
Jawapan Allah itu berbentuk tuntunan sehinggakan kita tidak berasa bahawa gerakan kita, usaha kita dan pilihan kita itu sebenarnya adalah ketentuan Allah.
Kita berasa semua yang kita lakukan adalah pilihan dan usaha kita sedangkan hakikatnya Allah jualah yang menggerakkan semuanya.
Lalu dengan daya kemanusiaan yang kita miliki atas kurniaan Allah SWT, lakukan sahaja apa yang kita inginkan dan fikirkan kerana semuanya itu adalah tuntunan Allah pada kita.
Namun dalam melakukan sesuatu itu, kita bukan boleh melakukan sesuka hati kita. Kita ada aturan‐ aturan yang disediakan Allah SWT. Fikiran dan akal kita mampu mengetahui dan memahami aturan Allah SWT yang disampaikan melalui Al‐Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW. Akal waras kita tahu membezakan mana yang baik dan yang buruk.
Yang utama kita tetap terus bergantung pada Allah SWT 100% dalam hidup ini. Apa pun perkara yang terjadi pada kita, yakinilah bahawa selagi kita tetap terus bergantung pada Allah SWT, kita tetap akan diredhai Allah SWT.
Sesuatu yang baik atau tidak baik hanyalah persepsi dan penilaian kita.
Allah merahsiakan perancanganNya kepada kita agar kita tetap terus bergantung kepadaNya dengan keyakinan yang tidak ada keraguan sedikit pun dalam setiap apa jua ibadah kita.
Semoga kita tidak lagi keliru dan pening kepala mempersoalkan tentang takdir dan juga kebebasan memilih yang Allah berikan kepada kita.
Yang pasti JUST DO IT! Beramal soleh. Amal Ma’aruf Nahi Mungkar.
NAMUN TETAP TERUS MENDAHULUKAN ALLAH SWT DI ATAS SEGALA SESUATU!
Wahai orang‐orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan‐kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa‐dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (QS: Al‐Anfal, 8:29)
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah [Al Qur’an], Kami adakan baginya syaitan [yang menyesatkan] maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan‐syaitan itu benar‐benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk. (QS: Al‐Zukhruf, 43: 36)
Aku tidak sesekali bertanya tentang qada’ & qadar yang aku sendiri tidak berkuasa ke atasnya. Aku hanya menjalankan hidupku mengikut daya kemanusianku yang dikurniakan Allah. Apa pun ketentuan Allah, aku sangat yakin ia sentiasa yg terbaik. Aku tidak akan melepaskan kesedaranku kepadaNya walau sesaat pun kerana aku sentiasa memerlukan petunjuk dan kekuatan kurniaanNya. “Ya Allah aku mohon petunjuk dan kekuatan dari Mu Ya Allah.”
Sifu Farihan Yahya
31hb March 2017
Temerloh, Pahang
0 comments:
Post a Comment