Metafizik

Jalan Yang Lurus

8:44 AM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Bismillah...

JALAN YANG LURUS

Tunjukilah Kami jalan Yang lurus. Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.
Al-Fatihah Ayat 6-7

Surah Al-Fatihah mempunyai banyak keistimewaannya. Saya belajar cara atau protokol berdoa dan pelbagai lagi dari Surah Al-Fatihah. Fahamilah dengan sejelas-jelasnya apa yang tersirat dan tersurat di sebalik makna surah Al-Fatihah.

Sifu ingin membincangkan sedikit berkenaan dengan ayat 6-7. Bukan menafsir. Hanya sekadar pengertian peribadi yang boleh diambil sebagai panduan kehidupan kita. Hidup kita penuh dengan impian. Kita inginkan segala impian kita menjadi realiti lalu kita berusaha ke arah itu. Sifu telah menerangkan di dalam beberapa artikel yang lepas iaitu seharusnya kita memohon kepada Allah dahulu samada segala impian, cita- cita, harapan, azam, objektif dan sebagainya merupakan sesuatu yang terbaik disisi Allah atau tidak.

Adakah menjadi jutawan merupakan sesuatu yang terbaik buat kita di sisi Allah? Adakah memiliki harta benda yang banyak merupakan sesuatu yang terbaik buat diri kita?
Maksud sifu di sini adalah tidaklah pula menjadi jutawan dan memiliki harta yang banyak merupakan sesuatu yang tidak baik. Keutamaan di sini adalah kita perlu memohon kepada Allah agar dapat memberi kita sesuatu petunjuk bahawa apa yang kita inginkan itu merupakan sesuatu yang terbaik di sisi Allah. Tidaklah kita menanamkan impian hanya mengikut nafsu kita semata-mata.
Menjadi kaya tidak semestinya bahagia. Menjadi miskin juga tidak semestinya bahagia. Kebahagiaan adalah sesuatu anugerah yang dimiliki atas izin Allah

Bagaimana menentukan impian, cita-cita, harapan, azam, objektif dan sebagainya yang terbaik di sisi Allah? Allah menjelaskan di dalam ayat 6-7 Surah Al-Fatihah ciri-ciri utama di dalam menentukan impian kita iaitu:
1. Jalan yang mempunyai Nikmat
2. Jalan yang tidak dimurkari Allah SWT 3.
3. Jalan yang tidak sesat

Jalan yang dimaksudkan di sini adalah CARA (way) bukan jalan (road).

1. Cara dan sesuatu yang diimpikan mestilah mempunyai nikmat dengan nama lain memberi manafaat kepada kita, manusia sejagat dan seluruh alam ini. Inilah yang kita doakan sepanjang hari di mana kita memohon kepada Allah cara yang dapat memberikan manafaat kepada kita.

2. Cara dan sesuatu yang diimpikan juga mestilah cara dan impian yang tidak dimurkai oleh Allah. Untuk mencapai impian (yang terbaik di sisi Allah) yang pasti memberikan manafaat kepada kita mestilah melalui cara yang tidak dimurkai Allah. Mestilah cara itu menuju kepada memiliki Redha Allah.

3. Cara dan sesuatu yang diimpikan bukanlah sesuatu yang sesat lagi menyesatkan. Bukan cara yang menjadikan kita syirik kepada Allah. Tidak meminta pertolongan syaitan dan jin melalui ilmu hitam di dalam merealisasikan impian.

Ketiga-tiga ciri ini perlu ada. Tidak boleh satu atau dua sahaja tetapi mesti ketiga-tiga ini dicukupi di dalam mencapai impian kita. Jika kita sudah mencapai yang pertama iaitu sesuatu yang memberikan nikmat kepada kita seperti kaya, adakah ia sudah memberikan kenikmatan atau manafaat kepada orang lain juga? Adakah kita masih menjadi orang-orang yang bersyukur atau mula menjadi orang-orang yang sesat seperti sombong, bongkak, bangga diri dan sebagainya. Begitu juga dengan hal yang lain.

Semoga apa yang kita lakukan adalah selari dengan apa yang kita doakan setiap hari (membaca surah Al-Fatihah). Tahu dan faham akan intipatinya dan bukannya sekadar tahu melagukan seumpama burung ketitir berkicauan.

Assalamualaikum dan Selamat Pagi

0 comments: