Latest Posts

Aura positif bila dikelilingi orang yang positif


Assalamualaikum semua. 

Hari ni saya berada di open day Mood Republik. Untuk yang tak tahu apa itu Mood Republik, boleh tengok ig mereka @moodRepublik. 

Saya tak mahu bercerita tentang Mood Republik tetapi saya terasa terpanggil untuk menulis di sini gara-gara saya sedang merasakan aura positif yang bertubi-tubi menyerang diri. Seronok tak terkata apabila kita berada di sekitar jiwa-jiwa manusia yang sangat bermotivasi & positif. 

Dalam hidup kita, memang manusia-manusia yang positif serta bersemangat akan memberi pengaruh besar dalam hidup kita. Anda mahu berjaya, kelilingi hidup anda dengan manusia-manusia berjaya dan yang mahu berjaya. Hiasi hari-hari anda dengan kisah-kisah inspirasi dari manusia yang sentiasa memandang sisi indah tentang kehidupan, meski ribut sekali sekala melanda. 

Saya teringat tentang satu kajian yang pernah dijalankan oleh Yale University, mereka mengkaji buku tahunan pelajar (majalah yang mengumpulkan gambar-gambar pelajar). Dalam majalah itu, ada gambar pelajar yang tersenyum lebar, ada yang senyum simpul & ada yang langsung tidak senyum. 

Apa kajian ini lakukan? Mereka follow up kehidupan pelajar-pelajar tersebut. Dan ternyata bahawa pelajar yang berjaya dalam hidup adalah pelajar-pelajar yang gambar dalam majalah tersebut adalah yang tersenyum lebar! This is a real research. 

Kesimpulannya, fizikal dan gestures kita sangat mempengaruhi tahap motivasi dalam diri. Kerana itu, jika kita ingin rasa bersemangat, harus sentiasa senyum, berjalan dengan yakin, tarik aura-aura positif dan jangan biarkan anggota badan kita terasa lemah dan lesu. Seandainya kita berjalan, berjalanlah dengan bersemangat, (bukan angkuh), sentiasa tersenyum dan selalu berfikiran positif. 

Jika kita rasa sedih, jangan terus melayan perasaan tersebut dengan melemahkan anggota badan kita dengan cara baring atau tidur sepanjang hari. Bangun! Bergerak! Lawan aura sedih! Dan terus ukirkan senyuman di bibir. Sambil di bibir menuturkan: Aku boleh! (Atau apa sahaja kata-kata positif lain). 

Kita orang Islam. Orang Islam orang berjaya. Allah mahu kita merasa bangga dengan keislaman kita. Allah kata orang Islam adalah orang yang dimuliakan. Yang harus ke hadapan membimbing manusia di bawah kita ke arah kebaikan. 

Kita tak perlu jadi orang besar untuk membimbing orang lain. Tak kira apa status kita, kita tetap boleh mengajak orang lain terus sama-sama bersemangat untuk menghadapi hidup & tidak berputus asa. 

Semangat yang kuat yang bergantung harap kepada Tuhan satu-satunya, itulah inspirasi kejayaan terbesar dalam hidup ini. 

Be positive, get inspired. 🌹

#elsajidashare

Apa itu SWAP REVIEW ?


TIPS BISNES HARI INI

Perkara terpenting dalam bisnes ialah MARKETING. Dan dalam bahasa mudahnya, ia bermaksud "memberitahu orang lain bahawa anda jual barang sekian-sekian". 

Amat difahami bahawa bisnes yang baru bermula sebolehnya tidak mahu mengeluarkan modal yang besar untuk kos marketing. Dan dari situlah wujudnya istilah "swap review" di kalangan instashoppers (yang membuat bisnes menggunakan channel instagram). 

Okay apa itu SWAP REVIEW? 

Ia bermaksud, anda promote ig instashop lain dan mereka promote anda, secara percuma di ig masing-masing.

Tapi awas, jika tidak kena dengan caranya, ada tiga perkara kurang baik yang anda akan hadapi:

1) followers sedia ada akan unfollow anda

2) followers ramai berpuluh ribu tapi sales kurang  

3) anda akan terlalu sibuk mengejar followers dan menyusun schedule untuk swap review sehingga terlupa untuk fokus kepada perkara paling utama: marketing produk anda & improve sales

NAK SWAP REVIEW JUGA? Boleh, tapi perlu pertimbangkan perkara-perkara berikut:

1) sekurang-kurangnya sehari hanya swap sekali & satu instashop (iklan yang berderet amat menjengkelkan followers. Mereka akan memilih untuk terus unfollow anda. Mereka juga akan keliru apa sebenarnya produk yang anda jual. Anda perlu ingat bahawa bukan semua customers faham apa itu swap review. Mereka akan sangkakan anda menjual produk yang ada di dalam gambar setiap swap review). Sebaiknya anda guna masa & ruang ig anda untuk bisnes anda. 

2) Harus bijak memilih ig shop yang betul-betul berbaloi untuk anda swap, yang sesuai dengan target market anda. Contoh: jika anda jual tudung labuh, sebaiknya hanya swap review dengan ig yang jual pakaian muslimah seperti blouse labuh, jubah, purdah, handsocks, buku agama etc. JANGAN tertipu dengan jumlah followers yang tinggi tetapi bukan target market kita. Contoh: ig yang menjual barangan make up

3) WAJIB letak syarat yang menjaga nama agama & nama ig anda. Contoh: anda jual tudung, maka letakkan syarat bahawa anda akan hanya terima gambar swap review yang menutup aurat, tidak berpakaian ketat, tidak menggunakan bahasa agak lucah (contohnya bahasa yang digunakan oleh sesetengah ig yang menjual barangan ubatan lelaki & wanita) dan tidak mencemarkan nama ig anda. (Janggal sungguh rasanya bila anda menjual purdah atau tudung labuh tetapi mengiklankan gambar yang tidak menutup aurat). 

4) Gunakan gambar yang betul-betul menarik untuk anda swap dengan ig lain. Bukan screenshot ig anda. 

APA PILIHAN YANG ANDA ADA UNTUK PROMOTE IG SELAIN SWAP REVIEW? 

Jawapannya: Paid review. 

Anda bayar pada ig yang ramai followers nya dan yang menawarkan khidmat ig review. Anda beri caption & gambar kepada ig tersebut dan mereka akan iklankan di ig mereka. Atau anda beri hadiah produk anda kepada owner ig tersebut, dia pakai dan promote di ig nya. 

Antara ig yang menawarkan khidmat ini biasanya instafamous (orang biasa, bukan selebriti, yang famous di ig dan mempunyai followers yang ramai) dan juga ig yang bukan bersifat personal seperti ig yg menyampaikan mesej-mesej dakwah atau motivasi. 

Jumlah bayaran yang dikenakan adalah berbeza, terpulang kepada berapa jumlah yang owner ig tersebut tetapkan. Biasanya jika followers lebih ramai, harga review lebih tinggi. 

Kami di EL SAJIDA pernah menggunakan kedua-dua jenis review, namun swap review sudah lama kami hentikan. Kerana kami tidak mahu menggunakan masa yang ada untuk semata-mata menjawab whatsApp tentang review, menyusun schedule review dan lain2. Bagi kami, masa yang ada lebih berharga untuk kami gunakan untuk generate sales & income. 

Yang sebaiknya anda gunakan paid review. Namun jika anda mahu juga swap review, mungkin anda perlu pertimbangkan perkara-perkara yang disebutkan tadi. 

Selamat mempromosikan bisnes anda! 🌹

#elsajidashare

Nota buat hati


[Forwarded from Dr Rozaimi Ramle's Channel]
📚 Nota Buat Hati 💚 

"Setiap kesusahan, apabila engkau meminta pertolongan kepada Allah, maka ianya akan membawa kemudahan. Manakala, setiap kemudahan apabila engkau bergantung pada diri sendiri atau pada mana-mana makhluk Allah, maka ianya akan membawa kesukaran." 

🍃Prof. Dr. Mustafa al-Siba'ie hafizhahullah 🍃

Ada orang mengeji apabila ada muslimah yang mula bertudung kerana baru memulakan bisnes tudung. 

Ada orang mencaci apabila ada artis wanita yang berhijrah memakai tudung tapi pakaian masih ketat. 

Ada orang memandang rendah apabila ada wanita yang memeluk Islam kerana mahu bernikah dengan lelaki Melayu. 

Sukarkah melihat semua perkara dari sisi kebaikannya? Sulitkah mengucapkan "Alhamdulillah" atas sedikit perubahan ke arah keimanan?
Tiadakah rasa mahu memberi sokongan saat manusia lain sedang dalam usaha menuju suatu penghijrahan? 

Dalam diri kita, seharusnya sentiasa merasakan bahawa orang lain lebih mulia dan baik dari kita. Sekelumit pun jangan sampai ada rasa bahawa kita lebih suci meski dosa mereka terzahir di mata kita, meski pakaiannya kurang sempurna berbanding kita. 

Sejauh mana pun kita mengenali seseorang, kita takkan pernah tahu bagaimana hubungannya dengan Tuhan, kita tidak pernah mendengar bisikan nalurinya berdoa kepada Yang Esa.

Apakah kita tahu, kalau-kalau tahajud mereka di malam hari lebih panjang dari kita? Atau tangisan mereka di kala subuh saat merayu keampunan kepada Tuhan lebih ikhlas dari kita? 

Sungguh, terkadang dosa yang membawa kita semakin dekat dengan Tuhan adalah lebih baik dari amalan baik yang mencambahkan rasa takbur di dalam hati. 

Moga Allah pelihara kita dari hati yang sentiasa mencari kesalahan insan lain. Moga Allah didik hati kita untuk sentiasa merasakan insan lain lebih mulia dari kita. 

#elsajidashare

Rindu pada nabi



Tadi di newsfeed FB, ada orang share video klip macam dalam link tu. Dan satu perkara yang agak mengejutkan diri sendiri, airmata tak tertahan berlumba-lumba keluar walaupun dengar lagu rancak. 

Lagu tu tentang Nabi kita, Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam. Bila tiba pada lirik rindu Rasulullah, hati ni sungguh-sungguh rasa diselubungi kesayuan yang amat dalam. Pedih hati rasa tertusuk rindu yang sekian lama tersimpan.

Mungkin sebenarnya makin terasa sayu gara-gara rasa bersalah pada baginda sollallahu 'alaihi wasallam. Bersalah kerana tidak menjadi salah seorang ummatnya yang solehah, tidak istiqamah dalam mengamalkan ajarannya & tidak bermati-matian perjuangkan sunnahnya. 

Sedangkan baginda sejak 1400 tahun yang lalu, sudah merindukan kita, sudah risaukan kita. Namun kita? Sejauh mana dalam hati ada rasa untuk menghargai perjuangan baginda demi menyelamatkan kita dari dosa & kejahilan? Ya Allah... 

Moga-moga rasa rindu yang menggebu kepada kekasih kita ini, mampu membantu kita menjadi pengikutnya yang setia, yang mempertahankan ajarannya & menyebarluaskan sunnahnya. Moga rasa rindu ini juga lah yang menjadi inspirasi kepada hati serta motivasi kepada jiwa agar terus bertahan di jalan kebenaran. Supaya akhirnya nanti kita akan bertemu dengan baginda sollallahu 'alaihi wasallam di syurga tertinggi. InshaAllah. 

"Cinta kepada Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bererti cinta kepada Allah..."

#elsajidashare

Cara paling mudah & penting untuk dapatkan inspirasi bisnes


TIPS BISNES MALAM INI

Cara paling mudah & penting untuk dapatkan inspirasi bisnes; 

Cuba aim beberapa brand besar (yang lebih kurang produk nya dengan anda) dan "tiruvasi" cara mereka. 

Ini point yang kerap kali saya beritahu kepada ejen saya. :) 

KENAPA KENA TIRU MEREKA? 

Sebab kita nak berjaya macam mereka, jadi kita perlu lalui jalan yang mereka lalui & cuba cara yang mereka dah cuba (dan berjaya). 

Tak perlu susah-susah fikir, terus tiruvasi bagaimana cara mereka berbisnes. 

APA ITU TIRUVASI? 

Tiru tapi bukan bulat-bulat. Kita tiru konsep mereka sahaja tapi kemudian kita sesuaikan dengan cara kita atau produk kita & cuba perbaiki lagi. 

Contoh? 

Kita tiru logo mereka. Tengok biasanya brand-brand besar ni guna font apa, warna apa & konsep macam mana. Tak perlu brainstorm untuk cari warna apa atau font apa. Ada sebab kenapa biasanya brand-brand besar ni hanya guna warna lebih kurang sama & konsep simple. 

Contoh lain lagi? 

Tengok macam mana cara mereka pos gambar di fb atau ig mereka. Tengok apa yang mereka share. Testimoni, style gambar produk, cara susun produk, cara model posing, cara mereka edit & design gambar etc. 

Jangan tiru bulat-bulat. Ambil ilham & inspirasi sahaja. Jangan sampai orang kata kita hilang identiti. Kita tiru cara mereka &  cuba perbaiki lagi kalau mampu. 

"MACAM MANA KALAU ORANG TIRU KITA? TAK SUKA LA."

Tak apa. Itu perkara biasa dalam bisnes. Kalau orang tiru kita, itu bermakna kita dah mula dikenali & dijadikan inspirasi. 

Jangan risau kalau orang tiru kita, tapi risau lah bila tak ada orang yang nak tiru kita. 

Konsep mudah dalam bisnes: NAK BERJAYA, PERLU IKUT CARA ORANG YANG DAH BERJAYA. 

#EL SAJIDA SHARES

Sebut In Sha Allah, tapi niat tak nak buat


SEBUT IN SYA ALLAH, TAPI NIAT TAK NAK BUAT 

Pesan Imam Al-Awzaie:

ولو قال : أفعل كذا إن شاء الله تعالى 

Seandainya seseorang berkata: Aku akan lakukan hal ini, InsyaAllah. 

ومن نيته أن لا يفعل

Sedangkan dia berniat untuk tidak melakukannya. 

كان كذبا وخلفا 

Maka ini merupakan satu pendustaan dan janji yang palsu.

[Jami' al-'Ulum wa al-Hikam]

#BroSyariefShares

Kenapa tidak boleh 'main' harga produk ?


TIPS BISNES HARI INI

Hari tu kita dah cerita sikit tentang harga dan saya dah janji nak explain sikit kenapa kita tak boleh jual terlalu murah dan jauh beza dari standard harga pasaran. 

Ini antara sebab-sebabnya:

1) Margin keuntungan sedikit

Kalau kita dapat untung sedikit dan tidak berbaloi dengan kerja susah payah yang kita buat, bagaimana bisnes kita mahu berkembang? Setiap usahawan wajib ada dalam perancangan mereka bahawa bisnes mereka akan menjadi bisnes yang besar. Jika tidak cukup modal untuk beli lebih banyak stok, bisnes tak mampu berkembang.

2) Modal untuk improve

Jika kita sekadar mendapat keuntungan RM3-RM5 untuk setiap jualan, bagaimana kita mampu untuk menambahbaik produk kita? Contohnya seandainya kita jual tudung, kita pasti akan perlu modal untuk cari material lebih berkualiti, packaging yang menarik, modal untuk free gift untuk customers, kos marketing yang lebih mahal, dan sebagainya. Business is about development, how we develop from small to big. Kita tak mahu bisnes kita masih di takuk yang lama dan tiada perubahan atau peningkatan. 

3) Ejen

Jika kita letak harga yang sangat rendah dan keuntungan cuma sedikit, kita takkan mampu untuk membuka sistem ejen kerana kita tak mampu beri komisen kepada setiap jualan dari pihak ejen. Bisnes yang baru berkembang wajib ada ejen. Ejen merupakan antara cara tercepat untuk orang ramai kenal bisnes kita. Nanti kita cerita panjang lagi tentang sistem ejen. InshaAllah. 

4) Risiko 'bungkus'

Dah banyak bisnes yang sememangnya bungkus gara-gara mereka jual murah. Ini kesan negatif yang paling bahaya buat bisnes kita. 


Nor Sajidah Zulkafli
Founder www.elsajida.com

Doa kita untuk hari ini


Doa kita untuk hari ini:


‎رَبِّ اجْعَلنِي      Ya Tuhanku, jadikan aku ini

‎لَكَ شَكَّارًا       hambaMu yang banyak bersyukur kepadaMu

‎لَكَ ذَكَّارًا        hambaMu yang banyak  mengingatiMu

‎لك رهَّباً        hambaMu yang punyai rasa takut kepada (seksaan) Mu

‎لك مُطِيعًا      hambaMu yang taat akan segala perintahMu

‎إِلَيْك مُخْبِتًا     yang khusyuk menghadapMu

‎إليك أَوَّاهًا مُنِيبًا   yang banyak merintih kepadaMu, & selalu kembali kepadaMu

‎رَبِّ تَقٌبَّلْ تَوْبَتِي   Ya Tuhanku, terimalah taubatku

‎وَ اغْسِلْ حَوْبَتِي   sucikanlah aku dari dosa-dosaku

‎وَ أَجِبْ دَعْوَتِي    perkenankanlah doa-doaku

‎وَ اهْدِ قَلْبِي     pimpinlah hatiku ke jalanMu

‎وَ سَدِّدْ لِسانِي  Jadikanlah lidahku ini hanya berkata benar

‎وَ ثَبِّتْ حُجَّتِي   Teguhkanlah pendirian dan hujahku

‎وَ اسْلٌلْ سَخِيمَةَ قَلْبِي  Dan cabutlah rasa kebencian (kepada orang lain) yang bersarang dalam hatiku

Amin ya Rabb..

(Sumber doa dari Hadith direkodkan dalam Sunan Abi Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah. Kata Syeikh Al-albani, hadith ini Sahih)

Rasa berat untuk bertaubat


Terkadang, 

kita rasa berat untuk bertaubat kerana dalam hati ada rasa satu kerisauan kalau-kalau dosa itu bakal terulang. 

Usah hiraukan kerisauan itu. Kerana kita ada kerisauan yang lebih besar iaitu; bagaimana seandainya ruh meninggalkan jasad tatkala kita masih belum bertaubat atas dosa lalu. 

Terus bertaubat seandainya sudah melakukan dosa. Taubat itu bisa sahaja dengan solat, atau dengan penyesalan disulami istighfar. Kerana ada orang yg solat taubat namun hati tidak benar-benar rasa menyesal saat mengenangkan dosa yang dipikul. 

Usah berhenti bertaubat. Andai kita rebah, kalah dengan nafsu, bangkit! Bangkit bertaubat semula selagi Dia beri nyawa. Dia sentiasa terima. Sentiasa. 

Allah sayangkan kita. Allah tahu kita tidak kuat. Kerana itu Dia kata Dia hampir dengan kita, untuk beri kita kekuatan. 

Allah itu dekat dengan kita semua. Cuma kita yang berpaling dari Dia. Tapi Dia tetap menunggu kita kembali kepada jalanNya. 

Kita semua sama- pendosa. Namun yang membezakan kita, adakah kita ini segera kembali kepada Dia setelah berdosa.



norsajidahzulkafli.blogspot.com