Kisah Diri
Bukan senang nak senang
Tajuk hari ni menggambarkan perasaan dan perjalanan yang sedang dilalui. Betul, bukan senang nak senang. Tapi keyakinan kepada Pemberi Senang itu harus tetap ada, kerana demi sesungguhnya Dia lebih tahu mana yang terbaik untuk kita. Ada orang ditakdirkan rezekinya melimpah ruah, terlebih-lebih. Ada pula orang yang ditakdirkan rezekinya cukup untuk menampung kehidupan seharian. Dan kita tidak tahu setakat mana rezeki kita yang ditakdirkan, jadi teruskan sahaja perjalanan dan keyakinan.
Lelah, penat, letih memang semuanya terangkum dalam sebuah perjalanan. Dulu, pernah juga aku terfikir menjalankan perniagaan sebagai jalan pintas untuk mendapat kekayaan berlipat kali ganda. Tapi setelah melaluinya sendiri, baru aku faham dan mengerti. Perjalanan perniagaan itu juga penuh dengan ranjaunya, setimpal dengan pulangannya. Bukannya senang-senang buka perniagaan hari ini, esok terus masuk wang berjuta ringgit. Semuanya bermula dengan usaha, diteruskan dengan usaha juga. Jatuh tersungkur, kesempitan wang semua itu antara asam garam yang perlu ditelan jua. Teruslah berusaha untuk naik semula ke roda atas, jika sekarang masih berada di roda bawah.
Dan aku juga mula mengerti, bukan semua orang ditakdirkan atau sesuai menjadi peniaga. Kerjaya yang perlu dibangunkan dengan penuh kesungguhan dan daya ketahanan diri. Itulah sebenarnya aset terpenting seorang usahawan ~ dirinya sendiri. Keyakinan dan motivasi dirinya akan memberi pantulan kepada usaha dan perniagaan yang dilakukan. Makin tinggi semangat diri, akan tetap terus mengharungi cabaran dengan tenang hati.
Berniaga pada aku mengajar banyak perkara. Yang pertamanya keyakinan kita kepada Pemberi Rezeki. Bukan aku katakan makan gaji tidak mempunyai keyakinan itu, cuma dari pengalaman sendiri ~ aku lebih merasakannya sewaktu berniaga. Memang berniaga pendapatan boleh menjadi 2 kali ganda, 3 kali ganda dan seterusnya tapi harus diingat usaha juga perlu setara. Pemasaran (marketing) dikatakan sebagai nyawa perniagaan. Aku setuju. Dan aku ingin tambah permasaran yang penting ada 2 iaitu dengan Tuhan, dan keduanya dengan manusia. Kena lebihkan pemasaran yang pertama, dan kau akan lihat sendiri hasilnya. Jika hubungan dengan Tuhan lemau-lemau sahaja, selalunya hasil pulangan perniagaan juga begitu. Aku banyak kali mengalaminya secara 'live' sepanjang 2-3 tahun mengusahakan perniagaan ini.
Pernah beberapa kali (banyak kali sebenarnya) terfikir untuk berhenti sahaja dari medan ini. Tapi entah kenapa, selalunya hati dan jiwa terusik untuk meneruskannya. Pasti ada sahaja detik dalam hati yang membuat aku bersemangat kembali. Walaupun saat-saat ketiadaan wang, rasa pent berusaha, rasa hampir putus asa..namun pasti akan ada sesuatu yang menjentik semangatku untuk terus kembali dan berjuang di medan ini. Aku juga tidak tahu, tidak dapat menerangkannya.
Cuma yang pasti pada aku, perniagaan bukan hanya teori semata-mata. Kita boleh menuding jari mengatakan itu dan ini, kita boleh mengarah itu dan ini kepada orang lain yang menjalankan perniagaan. Namun hakikatnya jika kita sendiri tidak pernah merasai perit getirnya bergelar usahawan, kita sendiri tidak akan faham bagaimana. Jika kita sendiri tidak pernah turun ke lapangan untuk berusaha membuat jualan, kita juga tidak akan faham erti sebenarnya bagaimana. Di situlah aku melihat kenapa berniaga itu dikatakan sunnah, sebab di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran untuk seorang manusia yang selayaknya dipersiapkan untuk menjadi khalifah di muka bumi. Cantik sekali aturan agama Islam dan sejarah peradabannya. Terima kasih Allah kerana memilih aku untuk berada dalam agama yang Engkau redhai ini.
Nota hati aku,
Rashidah Hamid
9 Januari 2018, Shah Alam
0 comments:
Post a Comment