cerpen

MISTERI GULA III

9:30 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Kata-kata Presiden Pengguna Gula itu disokong oleh rakyat. Mereka menuduh Menteri Perkilangan bersubahat dengan pemborong menyorok untuk menaikkan harga gula.
Bagi meredakan keadaan dan membersihkan tuduhan, sekali lagi Menteri Perkilangan mengadakan sidang akhbar.

“Saya simpati dan bimbang melihat masalah kekurangan gula sekarang,” kata Menteri Perkilangan. “Saya hanya mencadangkan, bukannya menaikkan harga gula. Bukan kuasa saya menaikkan harga gula. Itu kuasa kabinet. Pemboronglah yang bertanggungjawab. Saya bukan pemborong. Saya tidak berniaga gula,” bela Menteri Perkilangan.

Seorang wartawan bertanyakan akan sebab Menteri Perkilangan cadang menaikkan harga gula, sambil menunjukkan keratan laporan akhbar.
“Cadangan itu untuk menaikkan mutu gula di pasaran,” tegas beliau dengan wajah sedikit terkejut.

“Walaubagaimanapun, saya kesal kerana dimanipulasikan oleh pemborong menyebabkan banyak kilang barangan berasaskan gula terpaksa ditutup. Kerajaan perlu keluar banyak lessen pemborong gula supaya tiada sikap sorok-menyorok gula.” Jelas beliau lagi.

Kenyataan Menteri Perkilangan itu disambut oleh Menteri Jual-Beli Barangan. Katanya, “Negara sebenarnya tidak mengalami masalah bekalan gula. Lessen Jual-Beli Gula yang dikeluarkan kementerian adalah mencukupi.”

Laporan Menteri Jual-Beli Barangan mengejutkan Menteri Perkilangan dan orang ramai. Mereka rasa pelik bin ajaib. Sudah berbulan-bulan rakyat sukar mendapatkan gula, dikatakan bekalan gula tiada masalah. Sekali lagi orang ramai merungut kepada akhbar.

“Kalau cukup, mengapakah tiada gula di pasaran?” ujar seseorang.
“Ke manakah perginya gula?” ujar seseorang yang lain.

Tanpa berlengah, Menteri Perkilangan menulis surat kepada Menteri Jual-Beli Barangan, memohon penjelasan berkenaan kenyataannya yang disiarkan akhbar. Dalam surat balasnya, sekali lagi Menteri Jual-Beli Barangan menegaskan bahawa bekalan gula dan lesen dikeluarkan adalah mencukupi. Disertakan nama-nama syarikat yang diberikan lessen dan statistik pemeriksa gula oleh kementeriannya bersama-sama surat itu.

“Kami hairan apabila dikatakan bekalan gula berkurangan di pasaran,” kata Menteri Jual-Beli Barangan.

Dalam perenggan akhir suratnya itu, Menteri Jual-Beli Barangan menasihatkan agar Menteri Perkilangan tidak susah hati, kerana katanya, beliau percaya bekalan gula untuk musim perayaan nanti mencukupi.

“Cuma, Menteri Perkilangan perlu berhati-hati bercakap,” pesan Menteri Jual-Beli Barangan.

Menteri Perkilangan mengganggap jaminan Menteri Jual-Beli Barangan sekadar menyedapkan hatinya. Lantas, beliau menulis surat kepada Menteri Polis, memohon jasa baik pihak polis menyiasat misteri kehilangan gula. Maka bertebaranlah polis-polis, masuk kampung keluar kampung, masuk taman keluar taman, mengintai dan mengendap pergerakan orang ramai.
Seminggu dua minggu mengintai dan mengendap tidak juga terjumpa orang menyembunyikan gula, atau rumah persembunyian gula. Maka, Menteri Polis pun menulis surat balas kepada Menteri Perkilangan. Dinyatakan bahawa sepanjang pengintaian dan pengendapan pihak polis tidak menemui orang atau gudang-gudang penyembunyian gula.

...bersambung...

0 comments: