Info Umrah Tanah Suci
Operasi kereta api laju Haramain
MADINAH - ARAB SAUDI . Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud merasmikan operasi kereta api laju Haramain di sini hari ini.
Baginda menaiki perjalanan sulung pengangkutan itu bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Salman dari Jeddah ke Madinah.
Perjalanan itu mengambil masa dua jam dan tiba di Madinah jam 4.25 petang waktu tempatan.
Kereta api laju Haramain ini akan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Oktober dan dibina untuk memendekkan perjalanan jemaah mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Ia meliputi lima stesen iaitu Makkah, Jeddah, Lapangan Antarabangsa King Abdul Aziz, King Abdullah Economic City di Rabigh dan Madinah.
Keretapi laju ini bergerak pada kelajuan 320 kilometer sejam melibatkan laluan sepanjang 450 kilometer.
Ia dilengkapi landasan kembar elektrik sepenuhnya dan projek ini bernilai SR37.5 bilion (RM41.3 bilion).
Harga tambang tiket sehala kelas pelancong dari Stesen Sulaimaniyah di Jeddah ke Makkah berharga SR20 (RM22.05) manakala tambang untuk kelas bisnes adalah SR25 (RM27.57).
Tambang tiket untuk perjalanan antara Makkah dengan Madinah adalah SR75 (RM82.71) bagi kelas pelancong dan SR125 (RM137.85) bagi kelas bisnes.
Tiket kelas pelancong antara Jeddah dengan Madinah berharga SR63 (RM69.48) manakala tambang kelas bisnes adalah SR105 (RM115.79).
Lembaga pengarah Pertubuhan Kereta Api Saudi (SRO) yang dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan Nabeel Al-Amoudi, meluluskan harga tambang itu setelah mencapai persetujuan dengan konsortium Saudi-Sepanyol - Al-Shoula Group, yang merupakan pengendali projek berkenaan.
Ketua Pengarah Projek Kereta Api Laju Haramain, Mohammed Fida berkata stesen kereta api Jeddah seluas 766,000 meter persegi, boleh menampung seramai 25,000 penumpang dalam masa sejam.
Katanya, Stesen Makkah Rusaifah, terletak 4 kilometer dari Masjidil Haram, mempunyai kawasan seluas 503,000 meter persegi dengan kapasiti seramai 20,000 penumpang sejam.
"Stesen Madinah, yang terletak 9 kilometer dari Masjidil Nabawi, boleh menampung kapasiti 4,000 penumpang dan seluas 268,000 meter persegi," katanya.
0 comments:
Post a Comment