Jangan mudah tertipu

12:57 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Assalamualaikum

Hari ini nak berceloteh tentang pengalaman menjadi agen dropship kepada beberapa jenama. Ada dua perkara menarik yang berlaku hari ini yang boleh aku kaitkan dengan kisah hangat yang berlaku dalam negara ~ demam pilihanraya. Oh ye sebelum itu, aku nak maklumkan apa yang aku nyatakan di sini hanyalah pandangan peribadi sahaja. Kamu yang membaca boleh sahaja setuju atau tidak bersetuju dengan apa yang aku tuliskan. Okay!

***********************************************************************************************************
Perkara 1
Isu kelewatan penghantaran baju daripada pengedar pertama. 
Isu ini bukannya baru berlaku sekali, malah semenjak aku menjadi agen (2-3 tahun lalu) ianya telah berulang berkali-kali. Bukan tidak pernah disuarakan, tapi selalunya tidak mendapat sebarang respon yang baik atau sebarang perubahan. Aku melihat perkembangan yang berlaku hari ini di dalam group whatsapp, sebenarnya banyak mengulang sejarah lalu yang tidak diambil iktibar atau diperbaiki. Bila ada agen yang bersuara tentang isu kelewatan baju, seolah-olah agen tersebut sangat bersalah. Terus dihentam oleh agen-agen yang lain yang memang penyokong tegar jenama tersebut. Maka keluarlah nas dan hadis, keluarlah screenshot kata-kata dari ulama @ orang tersohor. Ah, mudahnya mereka menghukum. Sedangkan perkara pokok yang ditanya terbiar begitu sahaja, malah orang yang menghukum bukanlah orang yang mempunyai pengalaman yang sama. Maksudnya di sini, orang yang bertanya dan mempersoalkan ialah agen yang membuat jualan bulanan sekitar RM3000-RM4000 dan menjadi Top Agen untuk beberapa bulan. Tapi orang yang menghukum tidak termasuk dalam carta Top 10 pun. Maksud aku di sini ialah apa yang ditanya oleh agen berkenaan isu kelewatan ialah berdasarkan apa yang dilaluinya, sedangkan apa yang dijawab oleh agen lain (penyokong tegar) ialah orang yang tidak melalui pengalaman yang sama yang hanya bercakap berdasarkan teori semata-mata. Teori dan amali adalah dua pengalaman yang sangat jauh bezanya dan tidak boleh disamakan sama sekali. Menegur bukan bermakna kita tidak menyokong, menegur bukan bermakna kita tidak bersangka baik, tapi menegur ialah untuk kebaikan bersama agar apa yang salah diperbetulkan. Bukan hanya diterima dan disokong membabi buta. Tapi aku lihat apa yang berlaku, bila ada yang menegur, maka akan adalah juga penyokong tegar yang menghentam seolah-olah teguran itu semuanya salah. Menghentam seolah-olah pengedar terlalu suci dan tidak melakukan sebarang kesalahan. Cubalah berpijak di bumi yang nyata, semua manusia tidak lari dari melakukan kesalahan. Manusia bukan maksum, yang boleh terlalu diagung-agungkan sehingga langsung tidak boleh ditegur.

Perkara 2
Isu janji-janji manis untuk tawaran menjadi agen daripada pengedar kedua
Aku menjumpai iklannya di facebook. Ah, sekadar mencuba dan sebenarnya ingin mengetahui apakah telah ada perubahan dari sebelum ini atau bagaimana. Aku menjadi agen untuk pengedar ini sejak 2-3 tahun yang lalu juga, cuma aku sudah tidak aktif bersama mereka. Kenapa? Kerana aku serik terpedaya dengan janji-janji manis yang diberikan sewaktu mencari agen. Bukannya aku tidak memaafkan apa yang pernah berlaku, cuma aku ingin lebih berhati-hati agar pisang tidak berbuah dua kali. Harus diingat, dalam permainan dunia bisnes ini siapa player besar dan siapa player kecil. Aku sebagai agen pastilah dalam kategori player kecil tapi tanpa player kecil, player besar juga tidak ke mana. Aku lihat permainan ini telah dicemari oleh player-player besar yang hanya ingin mengambil kesempatan dan mengaburi mata player kecil. Ah, aku kasihan kepada orang-orang baru sekiranya mereka turut terpedaya. Dengan pengedar ini, aku pernah juga terpedaya dengan janji manis sewaktu sebelum menjadi agen suatu waktu dahulu. Dijanjikan untuk mendapat hadiah percutian untuk jualan tertinggi musim raya, asalnya itulah yang aku kejar. Dan aku sememangnya menjadi Top Agen untuk jualan tertinggi waktu itu. Tapi ianya bukanlah datang dengan mudah, aku membayar harganya dengan kepercayaan yang dicalari. Waktu itu tempahan pre order dan aku berjaya mencapai jualan RM17,000 - RM18,000  sebulan untuk musim perayaan. Pada aku, itulah sejarah besar dalam bisnes sebagai agen. Namun, cabaran yang terpaksa aku hadapi juga besar bila baju-baju yang dijanjikan untuk tempahan pre order itu tidak siap sepertimana yang dijanjikan. Hampir 80% wang perlu dikembalikan kepada pelanggan. Memang waktu itu, aku amat tertekan dan hampir tidak percaya dengan apa yang berlaku. Namun, aku berkeras dan memaksa pihak mereka memulangkan kesemuanya tanpa mengambil komisyen jualan yang aku patut terima. Dan perkara itu selesai setelah 3-4 bulan raya berakhir. Tahun ini mereka mengambil semula agen dengan janji-janji manis seperti sebelum ini. Janji-janji yang hampir sama. Bila aku cuba respon untuk menjadi agen, caranya juga hampir sama. Difollow up setiap hari selagi tidak mengikut prosedur untuk menjadi agen raya. Ah! Sedangkan kesemua langkah tersebut telah aku buat sebelum ini. Maknanya apa? Adakah rekod agen langsung tidak disimpan? Dan adakah mereka hanya ingin mengambil agen baru untuk memulakan semula permainan seperti sebelum ini?

*****************************************************************************
Pengajaran untuk diri sendiri :
Apa yang berlaku itu adalah pengalaman yang dikutip dalam dunia permainan ini. Ianya perlu dilihat dan dinilai dengan hati suci dan fikiran murni. Perlu berusaha juga untuk menjaga diri agak tidak tertipu dua kali dan kalah dalam permainan yang sama. Perlu juga mengambil iktibar agar suatu waktu nanti saat kita menjadi player besar, kita tidak melakukan perkara yang sama kepada player-player kecil yang ada. Sama-sama berkongsi rezeki, bukan menindas untuk kepentingan sendiri. 

Analoginya :
Pengedar 1 = sikap @ salah yang langsung tidak boleh ditegur, merasakan diri terlalu suci dan maksum dari segala macam dosa dan kesalahan
Pengedar 2 = janji-janji manis sebelum mendapat agen, dan kemudiannya setelah agen berjaya mencapai tahap yang ditetapkan, janji hanya tinggal janji

Lebih baik besederhana, tapi pelaksanaan adalah selari dengan apa yang dikata. Imej yang dibawa bukan sekadar di atas helaian kertas, tapi perlu dibuktikan dengan sebetulnya. 

Sekian coretan hari ini.
waritahati.blogspot.com
17 April 2018, 12.24pm

0 comments: