Bekerja dari rumah dan cabarannya
Sekarang zaman sudah berubah, bilaman internet menguasai perhubungan antara dunia. Untuk mencari rezeki dan bekerja, bukan hanya perlu keluar ke tempat tertentu. Tapi juga boleh dilakukan dari rumah sahaja. Cuma cabaran bekerja dari rumah memang agak banyak juga, terutama untuk memberi faham kepada orang lain tentang budaya kerja yang kita lakukan. Kerana rata-rata orang biasa berfikir kerja mesti di luar rumah, jika duduk di rumah maknanya tiada kerja.
.
Awal-awal dahulu aku merasa tersinggung sekali dan stress bila orang asyik tidak memahami. Bila nak apa-apa, nak ke mana-mana terus je telefon nak minta segera. Sebab? Kononnya aku kan hanya duduk di rumah, jadi boleh je nak buat sesuka hati.
.
Lama kelamaan aku mula faham, mereka beranggapan begitu sebab aku sendiri tidak cuba memberi kefahaman kepada mereka. Bahawa kerja di rumah sama seperti kerja di pejabat, ada waktu kerjanya dan perlu disiplin. Jauh di sudut hati, aku ingin sekali budaya kerja di rumah ini dihormati dan disegani. Bukan semua orang duduk di rumah hanya duduk sahaja, makan tidur. Ada orang yang berusaha sama seperti orang yang bekerja di luar rumah, berusaha untuk mendapatkan pelanggan setiap hari, berusaha untuk menyiapkan artikel dan lain-lain hanya untuk mendapatkan sesuap nasi.
.
Apa yang aku belajar daripada pandangan orang tentang semua ini ialah ~ aku sendiri yang perlu memberitahu dan bertegas tentang budaya kerja aku. Aku perlu nyatakan bahawa aku juga bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang, cuma bezanya pejabat aku di rumah. Dan pendapatan aku dikira harian, berbeza dengan pendapatan bulanan orang yang makan gaji di luar. Aku juga makan gaji, dengan pejabatku sendiri, dengan perniagaanku sendiri.
.
Dua cabaran besar bekerja di rumah ialah DISIPLIN dan MASA. Jadi aku akan pastikan aku punya jadual kerja sendiri yang boleh menjadikan aku mengatasi kedua-dua cabaran di atas. Jauh di sudut hati aku percaya, aku juga BOLEH BERJAYA hanya dengan bekerja dari rumah. Dan aku akan berusaha untuk mengembangkan perusahaan aku ini ke peringkat seterusnya yang lebih tinggi. Masa rehat aku juga sama seperti masa rehat orang yang bekerja di luar rumah dan aku akan tetapkan slot itu. Maksudnya aku hanya boleh keluar atau membuat kerja lain pada waktu rehat sahaja. Di waktu bekerja aku masih tetap kena bekerja dan menyiapkan segala kerja.
waritahati
5 April 2018
0 comments:
Post a Comment