Info Umrah Tanah Suci

Madain Saleh

8:32 AM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


🌷Madain Saleh🌷

Di dalam al-Quran, telah banyak disebut tentang kehancuran bangsa-bangsa(kaum) yang tidak mahu beriman kepada Allah SWT. Di antaranya adalah bangsa ‘Ad (umat Nabi Hud), kaum Tsamud (umat Nabi Saleh), bangsa Madyan (umat Nabi Syu’aib), kaum Nabi Luth dan banyak lagi.

Kaum Tsamud iaitu umat Nabi Saleh AS adalah anak cucu dari keturunan kaum ‘Ad. Mereka bukan sahaja terkenal dalam bidang keusahawanan, malah, memiliki kepakaran dalam bidang seni pahat, ukiran dan pertukangan. Kota bekas peninggalan kaum Tsamud ini terletak di Al-Hijr (Madain Saleh) iaitu 440km di sebelah Utara Madinah yang mana ia kini telah menjadi salah satu kota warisan dunia. Pada Julai 2008, pihak UNESCO, telah mengesahkan kota tua Madain Saleh ini sebagai salah satu situs warisan dunia (World Heritage Site). 

Bagaimana hebat dan kuatnya  kaum Tsamud ini, mereka tetap dihancurkan kerana mereka tidak mahu beriman kepada Allah SWT dan tidak mengakui bahawa Nabi Saleh adalah seorang Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada mereka. 

Sebelum mereka dihancurkan oleh Allah, kaum Tsamud ini diperintahkan untuk menyembah Allah SWT dan menerima ajaran Nabi Saleh. Namun, mereka enggan berbuat demikian. Ketika diuji oleh Allah dengan seekor unta betina, mereka pula berpakat lalu membunuhnya. 

“Dan wahai kaumku! Inilah unta betina dari Allah, sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu, sebab itu biarkanlah ia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apapun yang akan menyebabkan kamu ditimpa (azab). Maka mereka membunuh unta itu, kemudian dia (Saleh) berkata, bersukarialah kamu semua di rumahmu selama tiga hari. Itu adalah janji yang tidak dapat didustakan.” (QS Hud ayat 64-65).

Mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang dahsyat sehingga meruntuhkan bangunan-bangunan tempat tinggal mereka. Begitulah, kerana keangkuhan dan kesombongan mereka, Allah hancurkan sepertimana yang telah berlaku ke atas kaum ‘Ad iaitu umat Nabi Hud AS.

“Dan satu suara keras yang mengguntur menimpa orang-orang yang zalim itu, lalu mereka mati bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. Ingatlah, sesungguhnya kaum Tsamud mengingkari Tuhan mereka. Ingatlah, kebinasaanlah bagi kaum Tsamud.” (QS Hud ayat 67-68).

Sekiranya antum berpeluang ke kota tua Madain Saleh ini, tanamkan di hati rasa takut dengan azab Allah dan sedih sehingga mengalirkan airmata melihat segala kesan-kesan kebinasaan yang masih tersisa untuk dijadikan sebagai peringatan dan pengajaran bahawa sesungguhnya tiada satu kuasa di dunia ini mampu menandingi kuasa Allah SWT...

“Janganlah kalian memasuki daerah umat yang diazab itu kecuali sambil menangis. Jika kalian tidak bisa menangis, jangan memasuki daerah mereka. Jangan sampai azab yang menimpa mereka, menimpa kalian.” (HR. Bukhari 433).

Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat kita semua manfaatkan bersama.

0 comments: