isu semasa

Nasib Si Pembaling Kasut.

11:00 AM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Muntadar ditahan oleh pihak berkuasa selepas kejadian membaling kasut. - AFP

PERBICARAAN kes wartawan Iraq, Muntadar Al-Zeidi yang menggemparkan dunia kerana tindakannya membaling kasutnya ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, bermula dengan kawalan ketat pada Khamis lepas.

Muntadar mendapat sanjungan meluas terutamanya di dunia Arab apabila kasutnya nyaris-nyaris mengenai kepala Bush pada satu sidang media bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki, semasa lawatan perpisahan Bush ke Iraq sebelum meninggalkan White House. Walaupun tindakan Muntadar ini dilihat oleh AS dan Barat sebagai sesuatu yang salah dan menghina namun beliau telah dianggap sebagai wira oleh penduduk Iraq dan kebanyakan penduduk Islam dan dunia. Beliau telah dianggap hero bagi umat Islam dan mencatat sejarah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini membaling sepasang kasut yang dipakainya terhadap Bush, seorang pemimpin besar dunia.

Muntadar bukanlah orang kenamaan atau pemimpin politik. Beliau hanyalah seorang wartawan Iraq yang ditugaskan membuat liputan sidang media Bush di Baghdad baru-baru ini. Muntadar ditugaskan untuk membuat berita tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila beliau pula menjadi bahan berita dan disebarkan ke seluruh dunia. Dalam adat budaya Iraq, melempar kasut adalah satu penghinaan yang amat teruk. Maka Bush telah dihina dengan sangat jijik oleh seorang warga Iraq namun bagi mereka tindakan ini merupakan satu langkah yang tepat sesuai dengan apa yang telah dilakukan kepada dunia Islam.

Hakikatnya Muntadar sudah melampaui tugasnya sebagai seorang wartawan yang bertanggungjawab menulis berita dan dari segi perundangan beliau tidak boleh lari dari dibicarakan. Semasa memberi keterangan di mahkamah, Muntadar mempertahankan tindakannya dengan berkata, beliau menjadi terlalu marah dan tidak dapat mengawal perasaan apabila beliau melihat Bush mula berucap pada satu media di sini pada 14 Disember lalu.

"Saya hanya nampak Bush dan seolah-olah sesuatu yang hitam kelihatan pada mata saya.

"Sebaik sahaja Bush mula bercakap mengenai 'kemenangan dan kemajuan' di Iraq, ketika itulah saya melakukan apa yang saya lakukan," katanya di kandang tertuduh.

Sebelum sidang media itu, Muntadar menceritakan, beliau melihat pasukan keselamatan AS memeriksa wartawan Iraq dengan cara yang memalukan sebelum mereka dibenarkan memasuki bilik persidangan. Perbicaraan itu bermula pada pukul 10 pagi ini (3 petang waktu Malaysia) dengan puluhan penyokong yang berhimpun melaung-laungkan nama Muntadar dan menuntut beliau dibebaskan. Peguam bela dalam hujah pembukaan mereka berkata, protes luar biasa yang dilakukan oleh Muntadar itu tidak menyalahi undang-undang dan tuduhan terhadapnya patut digugurkan.

Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian, Hakim Mahkamah Jenayah Pusat, Abdul-Amir al-Rubaie menangguhkan perbicaraan kepada 12 Mac ini, dengan menyatakan maklumat lanjut diperlukan mengenai lawatan Bush. Menurut hakim itu, mahkamah memerlukan masa untuk mendapatkan kepastian daripada Kabinet Iraq sama ada lawatan Bush itu "rasmi atau tidak rasmi."

Muntadar yang ditahan sejak kejadian tersebut boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah menyerang seorang pemimpin asing, iaitu tuduhan yang difailkan terhadapnya oleh pendakwa raya. Jika Muntadar dibebaskan, ini sedikit sebanyak menunjukkan sistem kehakiman bebas dari pengaruh pihak tertentu dan dia akan berterusan dianggap sebagai wira.

Sebaliknya jika dia didapati bersalah, sistem perundangan akan mendapat malu kerana dituduh oleh rakyat negara ini dan masyarakat Islam seluruh dunia sebagai lidah barat dalam sisitem kehakiman.

Kini nasibnya terletak ditangan hakim malah perbicaraan ini pastinya bakal mencatat ujian bersejarah bagi sistem kehakiman Iraq, waima apa pun Muntadar sendiri akan terus dikenang dalam sejarah dengan tindakan beraninya itu.
-Utusan Malaysia Online-

.....erm....inilah dunia...yang lemah menjadi mangsa & teraniaya...

0 comments: