Tazkirah

SELAMAT PENDEK UMUR!

1:48 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

“Selamat pendek umur,” saya bergurau.
Sahabat saya agak tersentak, namun tetap senyum. Dia faham, saya hanya bergurau.
“Kenapa pula?” tanyanya.
Dia kelihatan ceria. Hari ini ulang tahun hari kelahirannya. Saya meraikan dia dengan belanja makan di restoran berhampiran tempat kami bekerja.
“Yalah… bukankah tarikh mati telah Allah tetapkan di dalam rahim ibu lagi. Ertinya, semakin hari, semakin dekat langkah kita menuju ketetapan itu…”
“Maknanya, semakin hari semakin pendeklah umur kita?” tingkahnya penuh pengertian.
“Ya, hari ini setapak lagi kita dekat dengan kematian.”

“Pelik, selalunya bila hari lahir orang bercakap tentang hidup. Tentang kejayaan. Tentang pencapaian. Sekarang kita bercakap tentang kematian pula.”
“Siapa yang tidak bercakap tentang mati akan ‘mati’,” balas saya.
“Kenapa pula?”
“Hukama berkata, barangsiapa yang tidak tahu untuk apa dia akan mati, maka dia tidak layak hidup!”
“Untuk apa kita mati?”
“Untuk hidup…” kilas saya lagi, sekadar bermain kata, bersilat bahasa untuk meninggikan makna. Dia diam. Menung dan alam fikirnya telah terusik barangkali.

“Mati untuk hidup?”
“Ya, mati bukanlah suatu pengakhiran tetapi hanya satu permulaan…”
“Satu permulaan? Maksud kau?”
“Mati adalah satu permulaan kepada hidup yang tidak mati-mati lagi – alam akhirat. Kau masih ingat kata-kata Umar Ibn Aziz yang aku sering ungkapkan dulu?”
“Hampir terlupa. Waktu di kampus dulu?”
“Umar berkata, manusia diciptakan untuk hidup selamanya. Hidup selepas mati itulah hidup yang hakiki!”
Terkesima dia. Jari-jarinya mula mengetuk-ngetuk meja. Perlahan. Tetapi saya yakin gerakan mindanya makin laju. Dia biasa begitu.

“Jadi, hidup ini untuk mati dan mati itu untuk hidup?”
Wah, saya pula yang terkejut mendengar liuk lentuk bahasanya. Berputar-putar seputar maknanya.
“Ya. Hidup di sini, di dunia ini, adalah tanaman untuk tuaian pada hidup di sana, di akhirat. Itulah tujuan hidup yang fana ini, demi kelangsungan hidup yang baqa itu. ”
“Jika demikian apa ada pada umur?”
“Umur hanyalah putaran surya, purnama dan buana yang dilakarkan oleh jarum jam, minit dan saat sebuah arlogi,” balas saya.
Seronok sekali-sekala, berbual dengan bahasa berbunga di sulam kosa kata yang yang berputik dan berbuah.

“Maksudnya kita abadi?”
“Ya, tapi bukan abadi seperti Khalik yang tidak ada permulaan dan tidak ada pengakhiran. Kita tetap makhluk.”
“Jika demikian, umur itu relatif juga kan?”
“Ya, kan Enstein pun fahamnya begitu? Masih ingat Teori Relativiti masa?”
“Panjang dan pendek umur bukan pada kuantiti tapi pada kualiti.”
“Juga bukan pada yang zahir tapi juga yang maknawi.”
Semakin rencam perbincangan kami. Tidak mengapa, sekali-sekala apa salahnya… berfalsafah kekadang lebih indah.

“Imam Nawawi, pendek umurnya tetapi ‘panjang’ ilmu dan abadi jasanya. Imam Shafie, Imam Ghazali… tidak sempat pencen istilah orang sekarang, namun impak perjuangannya melangkaui dekad dan abad,” tambahnya memberi contoh.
“Umar ibn Aziz memerintah hanya kurang lebih 2 tahun sahaja tetapi keunggulannya mengatasi khalifah Umayyah sebelum dan selepasnya,” sambungnya lagi.
“Rupa-rupanya petua nak panjangkan umur ialah dengan panjangkan amal, panjangkan ilmu, panjangkan jasa,” kata saya seakan merumuskan.
“Harta boleh panjangkan umur… sedekah atau wakafkan, jadilah amal jariah. Pahalanya berterusan. Akhlak boleh panjangkan umur… hubungi silahturrahim, panjanglah umur kita. Demikian maksud hadis.”

“Apakah rahsia kejayaan orang-orang yang ‘panjang’ umur itu?”
“Mereka sedar tentang tujuan! Mereka adalah peribadi yang sentiasa sedar akan tujuan segala sesuatu . Mereka tahu tujuan hidup, mereka tahu tujuan mati. Mereka mencari tujuan pada setiap tindakan.”
“Hasilnya?”
“Dunia sentiasa menyediakan jalan kepada orang yang punya tujuan. When there is will, the is a way!.”
“Tapi kita bukan mereka?”
“Betul. Tapi itu bukan kelemahan, bahkan satu kekuatan. Setiap kita adalah unik. Tuhan tidak ciptakan manusia bodoh, tetapi Dia mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”
“Kita lebih bijak daripada mereka?”
”Ya, di sudut-sudut tertentu. Seorang pemandu lebih bijak daripada seorang profesor dari segi pemanduan kereta.”

“Tetapi keintlektualan lebih berharga daripada kebolehan memandu kereta. Profesor lebih berharga daripada seorang ‘driver’. Gaji mereka lebih tinggi”
“Maksudnya, umur seorang profesor lebih ‘panjang’ berbanding seorang driver? Maksud kau begitu?”
“Perbezaan itu bukan perbezaan taraf, tetapi perbezaan jalan. Jalan untuk seorang driver menjadi hamba Allah berbeza dengan jalan seorang profesor. Itu sahaja.”
“Kau tidak mengiktiraf derjat orang berilmu?”
“Tidak begitu. Orang berilmu memang dilebihkan beberapa derjat… tapi dengan syarat, mereka takutkan Allah. Kan itu takrif sebenar seorang ulama?”
“Maksudnya?”
“Seorang driver yang takutkan Allah lebih tinggi derjatnya daripada seorang profesor yang tidak takutkan Allah. Tetapi sekiranya kedua-duanya takutkan Allah, tentu sahaja ‘umur’ profesor itu lebih panjang daripada umur seorang driver lantaran ilmu dan amalanya yang lebih tinggi dan berharga!”

“Ah, surah Al Baqarah menukilkan seorang yang mati di jalan Allah hakikatnya terus hidup… Syuhadak mendapat pahala dan kurnia berterusan daripada Allah. Jadi, satu petua lagi untuk panjang umur ialah mati syahid,” ujar saya mengalih arus perbualan.
“Benarlah kata ahli sejarah, para sahabat Rasulullah itu hidup kerana mereka mencintai mati. Dan generasi hari ini ‘mati’ kerana mencintai hidup.”
“Wah, terlalu panjang perbualan kita petang ini. Apapun aku ingin mengucapkan ‘selamat panjang umur’ sempena hari lahir kau yang ke 40 tahun hari ini,” pintas saya sambil bangun. Jam telah menunjukkan pukul 6 petang. Hari semakin pendek.
“Eh, tadi kau kata ‘selamat pendek umur’, sekarang dah bertukar balik seperti ucapan biasa yang aku dengar… selamat panjang umur?” tanya hairan.
“Eh, kau lupa agaknya. Maksud ‘panjang umur’ ku berbeza dari biasa. Maksudku, selamat menambah ilmu, selamat menambah amal, selamat mengeratkan silahturrahim, srlamat menambahkan sedekah, selamat menambahkan rasa takut kepada Allah. Ya, itulah. Itulah maksudku selamat panjang umur!”

- dipetik daripada blog Ustaz Pahrol Juoi dalam entri bertajuk SELAMAT PENDEK UMUR! -

0 comments:

motivasi

Hidup ini penuh PAKSAAN...

7:57 PM Rashidah Abd Hamid 1 Comments

Syukur kerana hingga saat ini kita masih bernafas. Biar dalam apa jua keadaan, hidup mesti diteruskan. Seseorang pernah berkata, segalanya dalam hidup ini penuh 'keterpaksaan'. Seimbas bunyinya macam tak ada keikhlasan langsung. Namun, jika difikirkan berkali-kali dengan otak waras, dengan hati yang tenang, kita akan dapat tafsirkan erti 'keterpaksaan' itu. Memang kita ikhlas, tapi ikhlas dalam paksa, ikhlas kerana terpaksa. Segalanya kerana mahu terus hidup!

Hidup perlu ikhlas, hidup perlu jujur. Maka itu, kita akan menghargai dan mensyukuri kehidupan yang diberikan kepada kita. Mudahnya begini, kenapa kita makan? Adakah kita benar-benar ikhlas untuk makan kerana nak terus hidup, atau kita makan kerana perut lapar. Kedua-duanya boleh diterima pakai. Kita makan kerana itu satu tuntutan untuk meneruskan hidup, untuk tenaga dan sebagainya. Kita juga terpaksa makan kerana perut kita lapar dan minta diisi.

Macam tu juga soal kerja. Kenapa kita kerja? Saja suka-suka atau hobi? Kita terpaksa bekerja untuk mencari nafkah buat menyara diri sendiri dan keluarga. Kalau tak kerja siapa nak bagi kita makan? Kita terpaksa untuk terus hidup. Untuk terus hidup kita terpaksa lakukan apa yang patut...

Kehidupan ini bukan statik, ia sentiasa bergerak dan berputar. Banyak ungkapan yang menggambarkan tentang pergerakan dan putaran dalam kehidupan ini. Hidup ibarat roda, adakala kita di atas dan pada waktu yang lain kita di bawah pua. Setiap daripada kita akan mengalami turun naiknya. Inilah yang dikatakan cabaran hidup. Macam manapun, sama ada kita berada di atas atau di bawah, kedua-duanya mempunyai hikmah.

Kita kena sentiasa ingat, bila berada di atas jangan lupakan yang di bawah. Bila berada di bawah jangan kita ingat kita telah penyek dan dilenyek! Juga jangan terlalu mengharap orang di atas. Sama ada cepat atau lambat, putaran hidup pasti akan meletakkan kita di atas juga. Ingat sekali lagi, memang takdir telah menentukan segalanya, tapi jangan berserah bulat-bulat! Usaha yang diiringi doa menjadi penggerak utama untuk mengubah nasib diri.

Kerana kehidupan itu sentiasa bergerak, maka kita perlu mengejarnya. Siapa cepat dia dapat. Mengejar sesuatu bukan bukan atas dasar tamak, tapi kerana kita terpaksa bersaing untuk terus hidup. Biarlah kehidupan ini sentiasa bergerak seimbang dan seiring, agar kita tak ketinggalan.

Kita hidup bebas, tapi bukan bermakna bebas untuk buat ikut suka. Kita terpaksa ikut peraturan hidup kalau tak nak lingkup! Jika kita merasakan terpaksa ikut peraturan walaupun tak suka, sampai bila-bila pun kita akan hidup dalam paksa! Bila kita berfikir terpaksa mengikut peraturan kerana memang satu tuntutan, kita tak akan rasa ada paksaan dalam hidup ini.

Dalam kehidupan ini ada susah dan senang, ada buruk dan baik. Semua itu adalah kehidupan yang seimbang, sebuah kehidupan yang normal. Kita ada otak untuk berfikir - fikirlah tentang kehidupan. Kita ada mata untuk melihat – pandanglah nikmat kehidupan. Kita ada telinga untuk mendengar – dengarlah tentang kebaikan kehidupan. Kita ada mulut untuk bercakap – bersuaralah demi kehidupan. Kita ada hati dan perasaan untuk menilai – nilailah erti sebuah kehidupan. Jika kita gunakan segalanya, maka kita akan mensyukuri nikmat hidup ini sebelum kita mati...
life is beautiful.... :)

1 comments:

isu semasa

KERJA OH KERJA...isk..isk..isk..

10:00 PM Rashidah Abd Hamid 1 Comments

Senario 1:
3,000 pencari kerja serbu Jabatan Pelajaran Kedah
Lebih 3,000 orang menyerbu Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di Alor Star hari in untu menghadiri temuduga kerja.Ekoran itu, temuduga terbuka itu, yang sepatutnya diadakan sehari sahaja, dilanjutkan sehingga esok, (14 May 2009) lapor Bernama.Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd Rahman berkata ia dilanjutkan kerana terlalu ramai yang menghadiri temuduga tersebut.Katanya, empat jenis jawatan ditawarkan termasuk guru siswazah kontrak, pegawai tadbir kontrak, penolong pegawai tadbir kontrak dan pembantu tadbir kontrak.

Senario 2:

Difahamkan, kira-kira 8,000 pencari kerja termasuk lepasan universiti, lepasan sekolah dan penganggur menghadiri temuduga terbuka Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada hari pertama bermula 12 Mei 2009 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 18 (1), Putrajaya. Kebanyakan mereka datang seawal jam 5 pagi lagi.

Di antara jawatan yang ditawarkan ialah Pegawai Tadbir Kontrak, Penolong Pegawai Tadbir Kontrak dan Pembantu Tadbir Kontrak. Selain daripada itu, jawatan Guru Siswazah Kontrak turut ditawarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di mana temuduga terbuka di negeri-negeri akan bermula pada 13 Mei 2009. Jawatan tersebut adalah jawatan kontrak selama 6 bulan yang ditawarkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.

isk...isk..isk...

1 comments:

dari dalam diri

terpaksa rela

11:04 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Tatkala melakukan sesuatu bukan dengan kerelaan hati,
beratnya terasa menggunung dalam diri...
namun apalah daya,
tersepit antara tanggungjawab & kemahuan hati sendiri.

0 comments:

dari dalam diri

kosong

8:42 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Hilang subjek untuk ditulis, kosong hati untuk merasai...
tandus jiwa sepi terasa, tumpul minda mencoret kata...

0 comments: