Pentingnya FOKUS dan siapkan satu kerja pada satu masa

6:39 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


Bismillah. 

Pernah tak anda rasa keliru dan tak tahu nak buat apa sedangkan kerja masih sangat banyak? Banyak sampai tak tahu nak mula dari mana. Contohnya  surirumah, tengah syok kemas dapur tiba-tiba teringat belum basuh baju, terus tinggal kejap kerja di dapur dan ambil baju dalam bakul untuk dibasuh. Kemudian dalam perjalanan nak angkat baju ke mesin, ternampak bilik anak bersepah, jadi lepas masukkan baju dalam mesin, kelam kabut fikir nak kemas bilik sampai terlupa masukkan sabun. Kemudian terus pergi kemas bilik anak dan masa tengah kemas tu, terjumpa novel atas lantai lepas tu belek-belek sekejap, eh terleka pulak. Akhirnya kerja dapur tak siap, basuh baju tak sempurna, kerja kemas bilik tak siap dan tiba-tiba buat perkara lain yang tak penting. (Yang tengah menulis ni macam tulis pengalaman sendiri je kan? 😂) 

Mungkin kita akan bagi alasan kita dah terbiasa multitasking, terutamanya orang perempuan. Jadi dalam kepala ni pun asyik terfikir nak siapkan semua kerja dalam satu masa. Tak dapat fokus. Kalau boleh tengah masak tu nak cek email, nak shopping online, nak suap anak. Akhirnya semua kerja tak berakhir dengan sempurna sebab fokus lari. 

Nak tahu kenapa fokus buat satu kerja tu sangat penting? Contohnya macam pelajar, kalau tengah buat nota, siapkan buat nota sahaja. Jangan diselang-seli dengan tengok movie. Sebab bila kita fokus, kita sebenarnya sedang melatih otak kita untuk "pick up" dengan kerja yang sedang kita lakukan. Bila otak dah berjaya "tune" dengan kerja tersebut, ia akan mengarahkan badan kita untuk bergerak dengan lebih laju dan mantap. Pernah tengok video orang tebar roti canai banyak-banyak dengan sangat laju tanpa perlu tengok pun? Itulah hasilnya apabila kita berjaya latih otak & badan kita fokus buat satu kerja dalam satu masa. Kerja akan siap dengan lebih cepat, sempurna & impresif. 

Kalau kita buat kerja lipat baju contohnya, kemudian kejap-kejap tengok handphone, memang lambat kerja tu akan siap dan kalau siap pun, tak berapa sempurna, ala kadar sahaja. Ini kerana tiada fokus ketika kita melakukan aktiviti melipat kain itu. Ada satu contoh mudah untuk anda faham macam mana satu kerja itu jika diselangi kerja lain, akan terganggu dan menjadi lambat; contohnya ketika bercakap. Sedang khusyuk anda bercakap dengan kawan, tiba-tiba ada orang datang menyapa dan anda perlu melayan dia seketika & lupakan sekejap kawan anda. Kemudian apabila selesai, anda mahu sambung semula bercakap dengan kawan tadi tapi anda akan lupa lantas bertanya "eh kat mana aku berhenti tadi?" atau "aku cakap pasal apa tadi?". Soalan-soalan sebegini menunjukkan bahawa otak anda sudah lari fokus dan mula terganggu dari perkara yang dilakukan sebelum itu. 

Kerana itu, tidak kira apa sahaja kerja yang anda buat, mesti fokus sampai habis! Fokus siapkan SATU KERJA PADA SATU MASA. InshaAllah hasilnya pasti terbaik. 👍🏻👍🏻👍🏻

Tapi, ada lagi satu soalan. Macam mana nak jadi fokus tu? Contoh macam surirumah yang disebut tadi, apa yang dia perlu buat supaya kerjanya lebih tersusun dan tak mudah hilang fokus? Okay ada satu rahsia yang bukan lagi rahsia: 

TULISKAN SETIAP PEKERJAAN YANG ANDA MAHU SIAPKAN DAN TULIS BILA ANDA TARGET MAHU IA SIAP. 

Atau dalam bahasa glamournya: To-do list. Bila kita ada to-do list dan jelas mahu siapkan kerja tertentu pada waktu sekian-sekian, kita akan lebih fokus dan akan kejar matlamat tersebut. Mesti akan ada rasa tak sabar nak pastikan setiap task itu sudah di "mark as done". :) 

Cubalah. Tak kira apa status atau pekerjaan anda, selagi namanya manusia, anda wajib ada to-do list atau senarai urusan penting yang perlu diselesaikan untuk setiap hari. Tulis di atas kertas atau whiteboard atau notes dalam handphone. InshaAllah anda pasti akan lebih fokus dan jelas tentang setiap satu perkara yang perlu anda lakukan. 

Selamat mencuba! 😉 

P.s.: untuk orang perempuan, kalau nak bagi bersemangat sikit tulis to-do list harian, boleh beli buku nota yang comel-comel atau eksklusif yang berkenan di hati. 🌹

Boleh share jika bermanfaat. 

#elsajidashare

0 comments:

Nota Bisnes

Shooting produk

10:58 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


TIPS BISNES HARI INI

Jom kita bincang secara ringkas tentang shooting produk. 

Untuk shooting di studio atau outdoor yang memerlukan kita untuk mengupah photographer, semestinya kita taknak buang masa kerana setiap minit itu perlu dibayar. Jadi bagaimana cara untuk memastikan setiap minit itu digunakan secara optimum? 

Satu cara mudah: Ambil inspirasi gambar dari brand-brand besar lain. 

Contohnya: Anda nak shooting jubah/tunic. Jadi anda rujuk website atau instagram brand popular dan lihat bagaimana posing modelnya. Dan jika untuk outdoor, teliti tema tempat macam mana yang biasanya mereka pilih serta props apa yang mereka gunakan. 

Pernah dulu kami di EL SAJIDA buat research yang agak teliti ketika kami mahu shoot flatlay untuk tudung kami. Kami lihat contoh-contoh flatlay brand luar negara, kami ambil inspirasi kemudian kami sesuaikan dengan produk kami. Kemudian kami catat satu persatu apa props yang diperlukan untuk tema tertentu dan kami sudah buat "rehearsal" dahulu tentang susunan flatlay tersebut sebelum kami ke jalankan shooting di studio. Memang benar-benar ia menjimatkan masa dan tenaga. 

Dan seandainya anda nak shoot blouse misalnya, perlu list kan secara detailed bahawa setiap blouse itu akan dipakai dengan tudung warna apa & skirt/seluar warna apa & posing nya bagaimana. Nanti di studio, kerja-kerja shooting akan berjalan dengan lancar inshaAllah. 

Boleh share jika bermanfaat. :) 

#elsajidashare

0 comments:

Nota Bisnes

Memilih nama brand

11:22 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


TIPS BISNES HARI INI

Tentang memilih nama brand. 

Pilih nama yang simple yang tak terlalu panjang, mudah disebut, mudah diingat & orang tak kerutkan dahi ketika kita beritahu nama brand kita kepada mereka. 

Lihat saja contoh brand-brand besar yang ada; Coach, H&M, Zara, TopMan, Sephora, Fareeda, Naelofar, Aidijuma dan sebagainya. Kebanyakan brand-brand besar ini cenderung memilih nama yang tidak terlalu panjang dan mudah untuk diingat. 

Satu perkara penting yang perlu anda pertimbangkan ialah, jangan memilih nama yang mengkhususkan satu barang sahaja meskipun anda bermula dengan menjual satu jenis barang. 

Sebagai contoh, pada awalnya EL SAJIDA dikenali sebagai SAJIDA HIJAB 60, kerana pada ketika itu kami menjual tudung bidang 60 sahaja. Namun kami cepat menyedari bahawa kami perlu segera menukar nama sebelum brand ini lebih dikenali. Kerana kami  merancang untuk menjual selain tudung bidang 60. Jadi nama hijab60 sudah tidak relevan & tidak memberi makna yang tepat kepada bisnes kami yang pada waktu itu sudah mula menjual tudung bidang 50 & jubah. Selain itu, kami juga merasakan nama Sajida Hijab 60 itu terlalu panjang & tidak komersial (jika dibandingkan dengan nama-nama brand besar lain).

Percayalah, sekali anda masuk ke dunia bisnes, anda akan sentiasa berkembang dan berkembang, dan biasanya sesuatu bisnes itu tidak akan bertumpu selamanya kepada satu jenis produk sahaja. 

Boleh share jika bermanfaat. :) 

#elsajidashare

0 comments:

Mendampingi Tuhan

Bersangka baik dan berlapang dada

6:36 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments


Bismillah. 

Waktu solat Asar di masjid tadi, ada orang yang terus bangun selepas tahiyat akhir dan tidak turut sama bersama imam untuk membaca doa. Ada yang memandangnya dengan pandangan pelik dan ada juga yang tidak mengendahkannya. 

Mungkin kita pernah mendengar suara-suara yang berkata, bahawa mereka yang tidak berdoa selepas solat itu adalah manusia-manusia yang sombong dengan Tuhannya. Namun tahukah kita, bahawa dua tempat terbaik untuk berdoa ketika solat adalah dalam sujud terakhir dan juga selepas tahiyat akhir SEBELUM memberi salam. Kerana kedua-dua itulah yang dilakukan oleh kekasih kita Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam. 

Terus sahaja bersangka baik, mungkin kita lihat seseorang itu tidak berdoa selepas solat, namun boleh jadi dia berdoa ketika dalam solat, malah mungkin doanya lebih khusyuk berbanding kita yang menadah tangan mengaminkan doa tanpa memahami apa yang dibacakan imam. 

Hidup ini mudah seandainya kita memilih untuk sentiasa berbaik sangka dengan orang lain. Hati kita ini inshaAllah cukup cepat akan reda dari kekecewaan atau kesedihan akibat perbuatan insan lain jika kita cuba menerima hakikat bahawa setiap manusia itu ada kelemahan masing-masing. 

Sentiasalah berbaik sangka dan lapangkanlah dada memaafkan orang lain meski untuk kata maaf yang tidak pernah kita terima. Hati kita berhak tenang, maka hindarilah ia dari buruk sangka atau dendam yang merosakkan. 

Wallahua'lam. 

#elsajidashare

0 comments: