Dipilih Tuhan

7:26 PM Rashidah Abd Hamid 0 Comments

Aku dipilih Tuhan untuk berada di jalan ini. Pernah juga aku terfikir, aku terjebak ke dalam dunia peniagaan ini secara kebetulan. Ah! tapi aku tahu tiada kebetulan dalam hidup. Semuanya telah tertulis dan tersurat oleh Tuhan, kita sebagai manusia hanya menjalankan dan melaluinya sahaja.

Minggu ini hati berperang hebat di dalam, dengan pelbagai rasa. Dalam usaha untuk menjadikannya kuat (walau acap kali tertewas juga). Merintih di dalam diri saat banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan kerana masih belum diizinkan. Antara kuat dan lemah, masih cuba berdiri. Antara bersemangat dan putus asa, masih cuba bertahan.

Terbaca status seorang rakan ~ katanya orang bisnes kena rajin banyakkan solat sunat. Kerana majikan kita cuma Tuhan dan kita kena usaha menjadi pekerja yang paling dikasihi. Barulah ada peluang diberi gaji lumayan, dinaikkan pangkat dan diberi ganjaran.

Aku kira itulah jawapan sebenarnya kenapa aku berada di jalan ini. Kerana Tuhan sayangkan aku dan mahu aku sentiasa dekat dan berusaha mendekatkan diri pada-Nya. Tuhan tidak mahu aku jauh, lupa dan lalai dalam menjalani kehidupan. Jadi aku juga kena berusaha menjadi pekerja cemerlang di bidang ini. Walaupun jalan ini sebenarnya sangat berliku, dan aku tahu aku banyak kali tewas untuk melaluinya sendiri..namun mungkin ada sesuatu yang menanti di hujung perjalanan lorong ini. Ada cahaya indah, ada cahaya kejayaan yang menanti di hadapan sana yang aku juga tidak tahu berapa jauhnya. Tuhan, bantulah aku untuk melaluinya.

Rashidah Hamid
10 Ogos 2018, 7.26pm
Shah Alam, Selangor

0 comments: